Berita Hari Ini

Polis Dedah Identiti Pemberi Maklumat Boleh Dipecat

KUALA LUMPUR – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati mendedahkan identiti pemberi maklumat termasuk berkaitan aktiviti perjudian haram boleh dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata keselamatan pemberi maklumat sentiasa menjadi keutamaan PDRM.

“Setiap anggota di bilik gerakan khas yang membanteras aktiviti judi haram perlu menyimpan rahsia.

“Jangan paksa pemberi maklumat yang menghubungi bilik gerakan memberikan maklumat peribadi mereka, cukup sekadar kita ambil maklumat yang diberikan mereka dan jalankan siasatan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas menyertai program Kembara PDRM Kuala Lumpur, di sini, semalam lapor Bernama.

Menurut Mazlan, program Kembara PDRM merupakan satu daripada inisiatif pihaknya dalam usaha membanteras aktiviti jenayah termasuk judi haram di ibu negara.

Mazlan berkata pihaknya juga yakin aktiviti perjudian haram di premis terbuka telah dihapuskan susulan tindakan penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa, namun kegiatan itu dipercayai masih berlaku di kawasan rumah persendirian.

“Kita percaya aktiviti haram itu dipindahkan ke apartmen, rumah teres dan banglo… dan di sinilah maklumat orang ramai amat penting bagi membolehkan polis menjalankan siasatan untuk menanganinya,” kata Mazlan.

Mengulas perkembangan lain, Mazlan berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi membanteras kegiatan perniagaan haram warga asing di sekitar ibu negara.

Katanya pihak polis menerima banyak aduan daripada orang awam terutamanya peniaga di pasar borong yang terjejas dengan kehadiran peniaga warga asing tersebut.

“Berdasarkan pemerhatian yang dibuat semasa Program Kembara PDRM Kuala Lumpur pagi ini di Pasar Borong Selayang, kita dapati ramai warga asing yang berniaga barangan keperluan harian di bahagian luar pasar itu secara tidak sah.

“Kehadiran mereka turut menganggu kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan kerana gerai mereka dibuka berdekatan dengan kawasan parkir pengunjung selain menjual barangan basah dengan harga lebih murah berbanding peniaga di pasar borong berkenaan,” katanya dan berjanji untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");