IPOH:Kerajaan Negeri akan meneruskan program pelepasan benih ikan di perairan umum untuk meningkatkan sumber benih ikan di kawasan sungai, tasik, bekas lombong dan empangan.
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Abdul Yunus Jamhari berkata kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM200,000 setiap tahun untuk pelaksanaan program tersebut.
“Bagi program ini dianggarkan sebanyak 2 juta benih ikan dan udang akan dilepaskan di perairan umum untuk tahun 2018,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Katanya langkah membanteras penggunaan elektrik untuk menangkap ikan,bom ikan dan pukat rentang serta mencegah pencerobohan oleh nelayan yang tidak berlesen.
“Perkara ini dapat dilakukan dengan memantapkan lagi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Sungai 1992.
“Pada masa ini Jabatan Perikanan kekurangan kakitangan serta kelengkapan bot ronda yang terhad untuk menguatkuasa peraturan ini,” katanya menjawab soalan lisan oleh Adun Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad.
Katanya lagi, bagi mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan adalah dengan menghadkan bilangan nelayan di setiap tempat.
“Kajian ‘Carrying Capacity’ akan dijalankan di setiap perairan untuk menentukan stok sumber perikanan berbanding nisbah bilangan nelayan darat demi menjamin kelestarian sumber perikanan,” katanya.
Malah katanya Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani juga telah memberi jaminan bahawa Elaun Sara Hidup Nelayan Darat sebanyak RM200 sebulan akan diteruskan sehingga tahun 2020.
“Kerajaan juga akan melakukan pemutihan terhadap mereka demi memastikan hanya nelayan yang benar-benar layak sahaja boleh menerima bantuan,”katanya.
Setakat ini katanya bilangan Nelayan Darat yang berdaftar dengan kerajaan negeri sehingga 30 Jun adalah seramai 2,224 orang (767 nelayan tulen dan 1457 nelayan sambilan) manakala seramai 755 orang nelayan darat telah menerima bantuan Elaun tersebut.
Manakala pada tahun 2017 katanya pengeluaran ikan dari perikanan darat adalah sebanyak 1,856 metrik tan yang bernilai RM25.7 juta dan kutipan hasil negeri adalah sebanyak RM22,240 dari fee lesen nelayan darat.