Sukan Hari Ini

Saya Tak Marah Tapi Terkilan – Azizulhasni

PUTRAJAYA: Azizulhasni Awang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilannya terhadap kesalahan fakta dikeluarkan presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi laporan sebuah akhbar baru-baru ini sehingga memaksa beliau menyuarakan rasa tidak puas hati di akaun Instagramnya.

Jaguh berbasikal trek negara itu menjelaskan tindakannya tersebut bukan mahu mengeruhkan keadaan tetapi kenyataan Datuk Abu Samah Abdul Wahab itu memberi kesan negatif kepada beliau terutamanya apabila dibaca pihak penaja.

Semalam, dia menunjukkan rasa berangnya melalui akaun Azizulhasniofficial dengan merujuk kenyataan akhbar bertajuk “Azizulhasni sukar ke Sukan Olimpik 2020” dan “Misi Selamatkan Azizul’.

Dia menyifatkan fakta yang diberikan Abu Samah adalah salah.

“Saya tidak marah tetapi terkilan apabila sebuah kenyataan akhbar dikeluarkan bukan sekali, tetapi dua kali.

“Laporan kedua selepas saya menghubungi Datuk Abu Samah sendiri. Terkilan sangat kerana kenyataan dikeluarkan salah.

“Presiden juga tidak pasti dengan Sistem Kelayakan Olimpik terkini.

“Jadi bagi saya sendiri, secara profesional, kalau kita tidak pasti dengan sesuatu perkara jangan buat sebarang kenyataan. Kita perlu pastikan fakta diberikan betul.

“Wartawan juga perlu pastikan maklumat ditulis betul.

“Impaknya kepada prestasi, karier serta kredibiliti saya. Penaja saya turut terkesan.

“Sebab itu saya tampil memberikan penjelasan, bukan kerana saya marah atau emosi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini, lapor Bernama.

Azizulhasni berkata entri terkini dalam akaun Instagramnya itu adalah penjelasan kepada kesalahan fakta dalam laporan sebuah akhbar arus perdana bertarikh 5 Ogos dan 7 Ogos.

Dalam akaun Instagramnya itu bertajuk, “ENOUGH WITH THE NONSENSE”, Azizulhasni meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Abu Samah yang tidak pasti dengan Sistem Kelayakan Olimpik serta menggunakan dirinya sebagai ‘kambing hitam” untuk mendapatkan tajaan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, sedangkan saya ada dua minggu lagi sebelum ke Sukan Asia, keluar pula cerita yang salah.

“Sepatutnya persatuan menyokong serta memahami atlet mereka. Ketika ini kami perlu memberikan fokus seratus peratus kepada persediaan mental dan fizikal, waktu ini amat kritikal dan atlet perlu berada dalam kondisi terbaik,” jelas Azizulhasni.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");