Sukan Hari Ini

Sukan Asia: Malaysia Kejutkan Korea Selatan

SKUAD B-23 negara melakar kejutan terbesar dalam Sukan Asia 2018 selepas merakamkan kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Korea Selatan dalam aksi kedua Kumpulan E, di Stadium Si Jalak Harupat, sebentar tadi.

Tujuh bulan lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee terpaksa menerima kekalahan kepada Korea Selatan dalam aksi suku akhir Kejohanan AFC B-23 Tahun tetapi kali ini di Indonesia, Malaysia meraih satu kemenangan yang penuh bermakna.

Selepas menewaskan Arab Saudi pada Januari dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lepas dalam aksi persahabatan, Korea Selatan menjadi pasukan gergasi Asia yang tunduk kepada Malaysia.

Memetik laporan Stadium Astro, Korea mendominasi permainan sejak awal permainan dan melancarkan sebilangan besar pemain untuk menyerang, membuka ruang buat Malaysia mencipta peluang. Hantaran jauh penjaga gol negara, Haziq Nadzli pada minit kelima berjaya mengelirukan pertahanan Korea sekaligus membenarkan Malaysia membuka jaringan pada minit kelima menerusi Safawi Rasid.

Bagaimanapun, Korea tidak tergugat apabila ketinggalan dalam permainan dan meneruskan permainan dengan strategi dan taktikal yang sama untuk mencari gol penyamaan. Pertahanan yang ampuh dipamerkan Malaysia sementara sentuhan penyudah Korea yang tumpul bermakna tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Haziq pada minit ke-34 bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan Hwang Hee-chan dalam situasi satu lawan satu dan lima minit kemudian, Kim Jung-min melepaskan peluang apabila rembatannya sekadar tersasar.

Ketika pengadil hampir meniupkan wisel sebagai tanda tamat separuh masa pertama, Malaysia berjaya menambah jaringan, Safawi sekali lagi berjaya mengawal bola sebelum menewaskan penjaga gol Korea, Song Bum-keun, buat kali kedua.

Terdesak dengan ketinggalan dua jaringan, Korea terpaksa menurunkan bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, dalam separuh masa kedua.

Korea menambah tekanan ke arah pintu gol Malaysia dan memaksa mereka untuk bertahan pada baki permainan.

Baddrol Bakhtiar dan Syahmi Safari bekerja keras membantu barisan pertahanan untuk mengawal gerakan Korea sehingga minit ke-88.

Gawang yang dikawal oleh Haziq akhirnya bocor selepas Hwang Ui Jo berjaya memintas barisan pertahan untuk menyumbat jaringan pertama Korea.

Malaysia terus menampilkan permainan bertahan hingga tamat permainan bagi memastikan kemenangan kedua dalam Sukan Asia berjaya diraih.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia selaku pendahulu Kumpulan E dengan berbaki satu perlawanan. Bahrain dan Kyrgyzstan meraih satu mata selepas mereka seri 2-2 dalam aksi yang berlangsung pada sebelah petang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");