Panasnya Hari Ini

Tanah 999 Tahun: Bekas Exco Cabar MB Perak Keluar PH, Bukti Tidak Tunduk

PETALING JAYA: Bekas exco Perak hari ini mencabar Menteri Besar, Ahmad Faizal Azamu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili PPBM negeri itu keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika beliau benar-benar memperjuangkan hak orang Melayu.

Bekas pengerusi Portfolio Pelaburan, Industri, Pembangunan usahawan, Pelancongan dan Wanita negeri Perak, Datuk Hamidah Osman membuat cabaran itu bagi membuktikan menteri besar tidak tunduk kepada desakan DAP yang mahu kerajaan negeri memberi status hak milik tanah selama 999 tahun kepada kampung baru.

“Kalau beliau kata sanggup hilang jawatan sebagai menteri besar bagi pertahankan tanah orang Melayu, maka apa yang beliau dan 2 orang (bekas wakil rakyat BN) yang diajak masuk kerajaan dulu patut tingalkan PH. Barulah terbukti beliau berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan Tanah Melayu.

“Sekarang senjata di tangan beliau, timun juga di tangannya, jadi beliau perlu menentukan langkah. Kalau betul DAP memaksanya laksanakan juga, maka beliau perlu mencabar diri dengan meletakan jawatan dan bersama-sama 2 orang yang mengikut beliau keluar PH. Jika tidak, kata-katanya sebelum ini hanyalah retorik sahaja,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

Hamidah mengulas keputusan Faizal semasa ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini untuk tidak memberikan status hak milik 999 tahun kepada kampung baru kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Faizal berkata Majlis Tanah Negara (MTN) memutuskan tempoh pajakan bagi kampung baru hanya dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun, dan hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun. tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Keputusan menteri besar itu menyebabkan DAP Perak mengingatkan beliau bahawa perkara tersebut dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH dan gabungan politik itu komited untuk melaksanakan semua janji itu.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan MTN “hanya memberikan nasihat”.

“Jangan salah faham, ini bukan tanah baru. Ini adalah lot kediaman yang didiami oleh penduduk sebelum kemerdekaan…sejak 1948, iaitu waktu Darurat sudah wujud kampung baru,” kata Nga.

Dalam pada itu, Hamidah menyifatkan pemimpin PH termausk Faizal bersifat “lidah bercabang” kerana tidak melaksanakan janji yang dibuat semasa pihan raya umum lepas, dan pemberian hak milik memang merupakan sebahagian daripada janji PH .

“Saya rasa pemimpin PH lidah bercabang kerana manifesto negeri Perak memang ada janji itu dan dan beliau sendiri (Faizal) yang melancarkan membacakannya di sebuah hotel. ia secara dasarnya dipersetujui oleh PH dan dijadikan modal manifesto mereka.

“Jadi menteri besar sendiri tak beretika. Kalau sebenarnya beliau pejuang tulen yang tidak rela tanah Melayu digadai sehingga sanggup kehilangan kuasa, maka pendirian itu perlu dijelaskan sebelum pilihan raya.

“Maknanya beliau sanggup tidak diundi oleh rakyat kerana mahu mepertahankan hak tanah Melayu, tapi kenapa pula ketika itu beliau sama-sama mendokong manifesto itu? Setelah berjaya menguasai kerajaan negeri cakapnya berbeza pula,”katanya.

Hamidah mendedahkan isu pemberian hak milik tanah selama 999 tahun kepada kampung baru timbul sejak 2008 sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) pada masa itu menguasai kerajaan negeri.

Langkah itu bagaimana tersekat apabila Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerajaan negeri pada 2009.

“Pada 2008, sebelum BN ambil alih, memang sudah ada tanah yang ditukar hak milik kekal ketika pentadbiran PR ketika itu. Ia telah berlaku dan ada pihak yang menerima tanah tersebut.

“Selepas kita (BN) ambil alih kerajaan negeri pada 2009, mana-mana tanah yang telah dikeluarkan geran kami tak boleh buat apa-apa, tetapi mana-mana permohanan yang dah bayar tapi belum diproses pengeluaran geran, kami pulangkan duit premium itu balik dan membatalkan kelulusan,” katanya.

Episod pemberian tanah 999 tahun hari ini bermula ketika PR, gabungan PAS, DAP dan PKR, menguasai kerajaan Perak selama 11 bulan pada tahun 2008 apabila ia memberi hak milik kekal tanah kepada kampung baharu dan kampung tersusun di negeri ini yang didiami kaum tertentu, katanya.

Hamidah yang juga bekas naib presiden PPBM menegur sikap pemimpin pusat parti itu yang “bisu” dalam isu mempertahankan hak milik tanah orang Melayu di Perak.

“Sepatutnya pemimpim PPBM berpegang kepada objektif dan matlamat parti. tidak seharusnya PPBM mengadaikan matlamat dan objektif parti semata-mata kerana ikut perjuangan PH. Dalam perlembagaan parti jelas menyebut tujuan memperjuangkan kepentingan orang Melayu,

Sementara itu, PAS menyatakan kesediannya untuk menyokong keputusan menteri besar menolak permintaan DAP yang mahu kerajaan negeri memberikan status hak milik tanah 999 tahun kepada kampung baru.

Walaupun berbeza haluan politik dengan PPBM, parti Islam itu menyambut baik pendirian Faizal mempertahankan hak tanah Melayu selaras dengan Perlembagaan negara.

“PAS bersedia bersama-sama menteri besar Perak berhadapan dengan tekanan DAP Perak. Anda tidak keseorangan,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali kepada FMT apabila diminta respons beliau berhubung isu tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");