Panasnya Hari Ini

“Tegur 20 Peratus, 80 Peratus Tumpu Pada Rancangan…”: Rafizi Tegur Kerajaan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menegur menteri dan Ahli Parlimen kerajaan supaya tidak terlalu kerap menyindir, mengkritik dan membuat pembongkaran kesalahan kepemimpinan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, pengasas INVOKE Malaysia itu menasihatkan pihak berkenaan supaya lebih memberi tumpuan terhadap pelaksanaan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Beliau bimbang jika tidak dikawal, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya faham menteri dan penyokong kerajaan di Dewan Rakyat menyampah dengan tindak tanduk pembangkang dalam kalangan BN yang berlagak suci seolah-olah mereka tidak ada kena mengena dengan isu yang dibangkitkan atau masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Seolah-olah mereka tidak berdosa dan itu sebab timbul kritikan, sindiran, serangan serta macam-macam pembongkaran dan sebagainya.

“Kalau pun hendak menegur, biarlah 20 peratus saja manakala 80 peratus ditumpukan kepada rancangan kita dan apa yang mahu kerajaan laksanakan.

“Saya pasti rakyat faham kerana banyak tinggalan kerajaan terdahulu perlu diselesaikan kerajaan hari ini dan mereka boleh memberi masa kepada kerajaan menyelesaikannya. Namun, kalau rakyat melihat (kerajaan) tidak ada kerja lain, asyik tumpu kepada pembongkaran dan menyerang pembangkang maka kesabaran rakyat akan terhakis dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama NSTP sempena pemilihan PKR di pejabatnya di sini, hari ini, lapor BH Online.

Beliau diminta mengulas tindak tanduk kerajaan yang dilihat banyak menumpukan pembongkaran kesilapan kerajaan terdahulu seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbanding fokus melaksanakan janji manifesto pilihan raya.

Sambil mengakui perkara itu berlaku, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau sendiri ada mengemukakan teguran itu kepada kepemimpinan parti.

Katanya, sudah sampai masanya kerajaan menumpukan kepada apa yang hendak dibuat seperti isu kenaikan harga barang, menurunkan harga minyak dan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

“Biarkan pembangkang melaksanakan tugas mereka untuk mengorek kesalahan kerajaan. Kita perlukan pembangkang yang baik untuk menegur dan menilai prestasi kerajaan,” katanya.

Rafizi percaya teguran beliau itu mungkin menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati tetapi yakin ketegasannya itu supaya menteri dan penyokong kerajaan tidak terbawa-bawa dengan budaya peninggalan kerajaan BN yang seronok menjadi kerajaan sehingga melupakan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau turut mempertikaikan tindakan beberapa Ahli Parlimen yang mengejek dan mengganggu perbahasan wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat.

“Saya tidak puas hati dengan tindakan Ahli Parlimen Jelutong (RSN Rayer) mengejek-ejek dan bertalu-talu mengaitkan isu 1MDB dan Najib (Datuk Seri Najib Razak). Sudah-sudahlah, Najib pun sudah didakwa di mahkamah… BN pun sudah dihukum dalam pilihan raya.

“Dalam isu 1MDB, bukan semua pemimpin BN terbabit kerana peringkat keterlibatan mereka itu berbeza. Sebagai Ahli Parlimen biasa mereka tiada dalam Kabinet sudah tentu tiada keterlibatan dan itupun sudah dihukum apabila BN kalah.

“(Namun) setiap kali berbahas mereka dikacau dan diejek-ejek, berilah ruang untuk mereka menjadi pembangkang yang baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");