Berita Hari Ini

Tun M Harap China Faham Masalah Fiskal Dihadapi Malaysia

BEIJING: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap China akan bersimpati dengan isu fiskal semasa yang dialami Malaysia pada ketika ini.

Ia susulan tindakan beliau menilai semula termasuk kemungkinan membatalkan projek berkaitan China yang berjumlah lebih RM81 bilion.

“Kami berharap supaya China memahami masalah yang berdepan dengan Malaysia ketika ini.

“Saya percaya, China akan melihat dengan lebih simpati terhadap masalah yang sedang diselesaikan iaitu berkaitan isu fiskal dalaman,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya, Li Keqiang di Great Hall of The People di sini hari ini lapor Astro Awani.

Walaupun Dr Mahathir tidak menyatakan secara terperinci, namun sebelum lawatannya ke China, beliau menyatakan antara tujuan lawatan termasuk membincangkan berkenaan projek infrastruktur yang dikatakan ‘tidak adil’.

Antaranya termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Mengulas berkenaan perdagangan bebas yang berkait perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), Dr Mahathir berkata perdagangan bebas bererti perdagangan yang adil.

“Perdagangan bebas adalah perdagangan yang adil. Kita perlu sentiasa ingat, tahap pembangunan setiap negara tidak sama. Kita tidak mahu kolonisme versi baharu berlaku sebab negara miskin tidak mampu bersaing dengan negara yang kaya semata-mata disebabkan perdagangan bebas.

“Ia perlu perdagangan yang adil. Justeru saya menyokong perdagangan bebas bersama dengan Li sebab saya fikir ini adalah yang perlu dilaksana di seluruh dunia,” jelasnya menjawab soalan wartawan berkait isu perang perdagangan China-AS.

Selain pertemuan empat mata bersama Li, kedua pemimpin negara itu turut menyaksikan majlis pemeteraian lima perjanjian persefahaman (MOU) melibatkan kepentingan bersama.

Lima MoU itu melibatkan persetujuan dua hala mengenai pertukaran mata wang, protokol untuk pengeksportan buah durian sejuk beku, pembangunan dan promosi biofuel yang dihasilkan daripada minyak sawit Malaysia, kerjasama dalam bidang teknologi jalan raya menggunakan bitumen daripada getah, selain kerjasama dalam peraturan perakaunan serta audit.

Dr Mahathir bersama delegasi sebelum itu menerima sambutan negara oleh China di Great Hall of The People, di sini.

Antara Menteri Kabinet Malaysia yang hadir adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");