Jenayah

8 Peserta Himpunan ‘Pandang Ke Sabah’ Ditahan

KOTA KINABALU: Lapan peserta Himpunan Pandang ke Sabah ditahan polis di Lintasan Deasoka, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, ketika mengesahkan perkara itu, berkata peserta himpunan itu ditahan pada jam 11 pagi tadi.

“Mereka ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi di Lintasan Deasoka untuk siasatan dan belum ada kata putus dibuat sama ada mereka dijamin atau ditahan 24 jam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, menurut BH Online.

Sementara itu, BERSIH 2.0 (Sabah), menerusi kenyataan kepada media, meminta polis melepaskan peserta himpunan itu.

Penyelarasnya, Asraf Sharafi, mendakwa polis tidak wajar menggunakan Akta Perhimpunan Aman sebagai alasan untuk menghentikan sebarang perhimpunan rakyat sebagai menghormati Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, serta semangat Malaysia Baharu yang lebih demokratik dan berteraskan hak untuk bersuara serta berhimpun.

“Langkah polis menangkap mereka adalah sangat ke belakang dan menunjukkan kerajaan tidak serius untuk mengangkat suara rakyat marhaen,” katanya.

Difahamkan, antara tuntutan peserta perhimpunan itu ialah berkaitan pendidikan, kemiskinan, tanah adat, keselamatan, rumah rakyat, pengangkutan awam, alam sekitar serta peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Himpunan itu diadakan berhampiran lokasi Tamu Jalan Gaya yang diadakan pada setiap Ahad serta tidak jauh dari Padang Merdeka, iaitu lokasi sambutan Hari Malaysia Ke-55 yang akan turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malam ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");