Berita Hari Ini

946 Majikan Lindungi PATI Ditangkap

BANGI: Jabatan Imigresen menangkap 946 majikan degil yang didapati melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), antara 1 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata ia sebahagian usaha berterusan jabatan itu untuk ‘memerdekakan’ negara daripada pendatang asing haram serta memburu majikan yang masih berdegil melindungi warga asing berkenaan.

Katanya, tangkapan itu adalah hasil daripada 10,014 operasi dijalankan di seluruh negara dalam tempoh sama, dengan 126,445 warga asing diperiksa dan 31,146 PATI ditahan.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, 317 majikan dan 10,495 PATI yang ditangkap adalah hasil daripada Ops Mega 3.0 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen sejak 1 Julai lalu.

“Kesalahan majikan ini adalah melindungi PATI, dengan kebanyakan mereka menggajikan orang yang tidak ada dokumen dan pas perjalanan yang sah serta pekerja asing yang sudah tamat tempoh menetap.

“Ada juga majikan menggajikan pendatang yang menyalahgunakan pas, misalnya mereka sepatutnya bekerja dalam industri perladangan tetapi didapati berada dalam industri pembinaan.

“Ini tidak dibenarkan kerana antara lain bayaran levi berbeza antara industri itu. Levi bagi industri perladangan dan pertanian adalah RM640 dan untuk sektor lain RM1,850.

“Kami juga mengesan majikan yang memancing pekerja asing daripada industri lain. Majikan itu dengan senang mendapat pekerja asing tanpa dokumen sah, menyebabkan majikan lain hilang pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Madya Dr Roslee Rajikan dan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Dr Sufian Jusoh.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, majikan memberi alasan lebih cenderung memilih PATI sebagai pekerja kerana bayaran gaji murah antara RM900 hingga RM1,000.

“Proses untuk menamatkan perkhidmatan PATI juga lebih senang berbanding mereka yang sah kerana ada kontrak tertentu.

“Mereka juga beri alasan kononnya sukar menggajikan pekerja asing secara sah kerana tapisan Jabatan Imigresen, namun kita sedia untuk permudahkan tapi tentunya perlu patuhi undang-undang dan peraturan seperti pembayaran levi dan lain-lain,” katanya.

Ditanya sama ada majikan masih berdegil kerana hukuman ringan, Mustafar berkata, masyarakat menjangkakan hukuman berat dikenakan kepada mereka.

“Majikan yang menggajikan PATI sepatutnya dikenakan hukuman rotan, tetapi dalam kebanyakan kes, mereka hanya dikenakan denda sahaja dan mungkin ini tidak memberi pengajaran,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");