Berita Hari Ini

Armada PPBM Buat Laporan Polis Terhadap Lokman

IPOH: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Gopeng, Ipoh Timur dan Tambun hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, berhubung satu kenyataannya pada Sabtu lalu.

Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 2 petang tadi kerana ARMADA PPBM mendakwa ucapan berkenaan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Dalam satu kenyataan, ARMADA PPBM mendakwa ucapan itu dibuat Lokman dalam Himpunan Melayu Bangkit di Pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, kira-kira jam 9 malam Sabtu lalu.

ARMADA PPBM berkata Lokman juga didakwa menggelar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan gelaran yang tidak sewajarnya.

Katanya, dalam ucapan itu, Lokman juga didakwa menyebut Peguam Negara, Tommy Thomas akan dan boleh mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Sultan serta Raja-Raja Melayu pada bila-bila masa.

“Lokman Adam juga menyatakan pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum adalah salah kerana kononnya Tan Sri Richard ialah seorang yang anti Islam berdasarkan kes yang pernah dihakimi oleh Tan Sri Richard Malanjum,” katanya.

Sementara itu, Ketua ARMADA PPBM Gopeng, Megat Muhammad Asri berkata, ucapan Lokman itu dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini.

Katanya, ARMADA PPBM memohon supaya polis menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung perkara terbabit.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");