Jenayah

Azis Jamman Pecat Pegawai Rakam Bahagian Bawah Skirt Wanita

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, memecat seorang pegawainya susulan lelaki terbabit didakwa merakam video melalui bawah skirt seorang petugas wanita di kedai cermin mata.

Insiden itu dilaporkan dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur dan tertera tarikh 8 September 2018 pada rakaman itu.

Mohd Azis, menerusi kenyataan di laman Facebook beliau malam tadi, berkata beliau mengambil maklum berhubung salinan laporan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang viral dalam media sosial membabitkan tindakan dan perilaku individu yang bersamanya ketika pemeriksaan mata dijalankan, lapor BH Online.

Katanya, beliau memandang serius tindakan individu terbabit yang membuat rakaman sedemikian secara sembunyi dan senyap-senyap tanpa disedari ketika pemeriksaan mata dijalankan.

“Tindakan dan perbuatan sedemikian adalah terkutuk dan keji. Saya juga mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap pegawai yang membuat rakaman itu.

“Selepas membuat pertimbangan, keputusan untuk memecat pegawai itu dibuat serta-merta kerana tindakannya menjejaskan imej dan kredibiliti saya selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pejabat Timbalan Menteri,” katanya.

Mohd Azis turut memohon maaf atas tindakan pegawai terbabit dan menegaskan ia tiada kena mengena dengan pegawai lain dalam pejabat Timbalan Menteri yang bertugas dengannya.

Semalam, seorang petugas wanita di kedai cermin mata membuat laporan polis selepas menyedari seorang lelaki dipercayai pegawai kepada Azis Jamman merakam video bahagian bawah skirtnya dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi.

Malah, video perbuatan keji lelaki yang merakam bahagian bawah skirt wanita berkenaan selama 1 minit 46 saat itu turut di muat naik dalam laman sosial Facebook.

Mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Khee, 30, berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau membuat pemeriksaan mata timbalan menteri berkenaan.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan terhadap Mohd Azis, lelaki berkenaan mengubah kedudukan kerusi dan duduk rapat menghamipirinya di bahagian belakang sambil memegang telefon bimbit.

“Ketika itu saya merasa tidak selesa dan curiga dengan tindakannya, namun membiarkan kerana menjalankan tugas pemeriksaan mata terlebih dulu.

“Namun, perasaan curiga saya itu betul apabila mendapati lelaki itu sedang merakam bahagian dari bawah skirt saya berdasarkan semakan rakaman CCTV di kedai,” katanya ketika dihubungi.

Khee berkata, beliau terkejut dengan rakaman itu dan membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan menerima laporan daripada wanita berkenaan dan sedang menyiasat kes itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");