Panasnya Hari Ini

Belajar Dari Sejarah, Kuasa Bukan Anugerah

SHAH ALAM: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diingatkan supaya belajar daripada sejarah serta tidak menganggap kuasa pemerintahan yang dimiliki ketika ini sebagai anugerah.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata anggapan kuasa sebagai anugerah memberi peluang kepada mereka yang memilikinya untuk menyalah gunakan demi kepentingan peribadi, lama kelamaan akan merosakkan diri dan parti.

Katanya, jika kuasa pemerintahan dilihat sebagai satu amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, beliau percaya mereka akan menggunakan kuasa untuk kebaikan.

“Tuhan sedang menguji kita dengan kuasa. Adakah kita akan menggunakan kuasa untuk melakukan kebaikan atau mendatangkan kerosakan.

“Kita perlu belajar daripada sejarah. Parti lawan kita yang amat berkuasa suatu ketika dulu dicabut kuasa kerana mereka melakukan begitu banyak kerosakan dengan menyalahgunakan kuasa.

“Mereka biarkan nilai dan budaya buruk meresapi parti sehingga akhirnya ditolak rakyat,” katanya dalam ucapan menerusi rakaman video yang disiarkan kepada ahli BERSATU pada Majlis Sambutan Ulangtahun Kedua di Stadium Malawati, di sini, semalam, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Muhyiddin berkata, beliau percaya BERSATU masih boleh membentuk budayanya sendiri untuk memastikan kuasa itu digunakan dengan cara yang betul dan parti itu sentiasa berada pada landasan yang benar.

Katanya, budaya BERSATU perlu berlandaskan kepada lima nilai utama antaranya disiplin; amanah; perpaduan; utamakan perjuangan dan komitmen kepada parti.

Beliau berkata, ahli BERSATU tidak seharusnya membuat hal masing-masing sehingga parti porak-peranda, selain ada rasa hormat dan taat kepada arahan pucuk pimpinan.

“Ingat peristiwa perang Uhud. Ketika tentera Muslim hampir menang, ada yang ingkar perintah Rasulullah SAW dengan meninggalkan Bukit Uhud semata-mata merebut harta rampasan perang. Ketika leka mengutip laba, musuh datang menyerang semula dan mengalahkan mereka.

“Jangan kita ulangi kesilapan tentera Uhud yang tidak berdisiplin sehinggakan mereka dikalahkan pihak musuh. Peliharalah disiplin parti supaya kita dapat mengekalkan kemenangan dan parti menjadi bertambah kuat.

“Nilai yang kedua ialah amanah. Ingat bahawa kita sedang menggalas amanah dan harapan rakyat. Sebagai parti yang memerintah, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada kita untuk melaksanakan janji kepada mereka.

“Bagi ahli parti yang memegang jawatan dalam kerajaan, baik pada peringkat Persekutuan, negeri atau majlis tempatan, sentiasalah bermuhasabah dan mengingatkan diri supaya melaksanakan janji kita kepada rakyat,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan ahli BERSATU supaya tidak mewujudkan kem dan kumpulan di dalam parti yang akan menyebabkan perpecahan.

Katanya, ahli BERSATU juga perlu sedar kemenangan parti itu dalam pilihan raya lalu tidak bermaksud ia sudah mencapai semua tujuan perjuangannya, sebaliknya ia sedang memasuki satu fasa baharu dalam perjuangan untuk memulihkan negara dan melakukan pembaharuan.

“Yang penting kita terus istiqamah berjuang dan berikan sokongan padu kepada Dr Mahathir sebagai Pengerusi parti dan Perdana Menteri untuk mengemudi bahtera negara.

“Saya percaya jika kita amalkan semua nilai murni yang saya sebutkan, kita dapat membentuk budaya BERSATU yang akan melahirkan pejuang tulen yang sentiasa berjuang memperkukuh dan memperteguhkan parti,” katanya.

“Selain memperkukuhkan BERSATU, kita juga mestilah memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) dengan menjalin kerjasama yang lebih erat antara parti anggota PH.

“Setiap parti anggota mempunyai peranan masing-masing dalam membina keyakinan masyarakat terhadap PH. Insya-Allah, dengan semangat saling hormat-menghormati antara parti PH dan komitmen semua parti untuk mematuhi Perjanjian PH yang kita meterai bersama, PH akan menjadi sebuah gabungan parti politik yang kuat dan dihormati rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");