Sukan Hari Ini

Berikan Sebab Jika Ketepikan Silat

KUALA LUMPUR: Sekalipun hasil bedah siasat terhadap Program Podium masih belum diketahui namun Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) tidak berdepan masalah jika mendapati pesilatnya digugurkan daripada program tersebut.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau bagaimanapun bertegas ingin mengetahui punca dan alasan jika sah pesilatnya tidak lagi tersenarai dalam Program Podium.

“Saya tiada masalah jika mereka digugurkan daripada Program Podium malah jika program ini tidak diteruskan juga pun saya tiada masalah. Walaupun sebelum ini tiada Program Podium, kami (Pesaka) tetap berupaya melahirkan jaguh dunia.

“Cuma jika pesilat digugurkan, saya nak tahu kenapa mereka digugurkan. Sebab kita sedia maklum, silat di Sukan Asia tempoh hari adalah penyumbang pingat terbanyak meskipun kami tidak membawa pulang emas ke­rana ‘dirompak’.

“Daripada 15 acara silat yang kami sertai, lapan daripadanya menyumbangkan pingat melibatkan empat perak, empat gangsa.

“Kontinjen negara memungut 36 pingat (tujuh emas, 13 perak, enam gangsa) di Sukan Asia, de­ngan lapan daripadanya disumbangkan oleh silat. Kita seharusnya berasa bangga,” katanya sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan satu kajian semula akan dilaksanakan terhadap keberkesanan Program Podium berikutan kegagalan negara menempatkan diri dalam kalangan sepuluh negara terbaik pada Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun ini.

Jelasnya, perkara berkenaan perlu dilakukan bagi menambah baik program sedia ada sebagai persediaan segera untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berbaki 23 bulan lagi.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain tidak menafikan Program Podium telah banyak membantu pesilatnya menerima layanan ‘ekslusif’ terutama berhubung kesihatan dan kecergasan agar mereka dapat terus berjuang mengharumkan nama negara.

“Bagi saya Program Podium ini banyak memberikan suntikan semangat kepada pesilat kita contohnya berkaitan pemulihan ke­rana kita sedia maklum silat atau sukan tempur ini mudah terdedah dengan kecederaan.

“Sebagai contoh, srikandi kita Siti Rahmah M. Nasir ada me­ngalami patah tangan selepas Sukan SEA 2017, namun selepas mendapatkan rawatan menerusi Program Podium, dia kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh 1 bulan setengah sahaja,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");