Sukan Hari Ini

‘Bersedialah Hadapi Kemungkinan’

KUALA LUMPUR: Sama ada suka atau tidak, peminat badminton negara perlu bersedia seandainya jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusan untuk bersara.

Situasi itu mungkin berlaku selepas bekas pemain nombor satu dunia itu disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal, minggu lalu.

Menerusi laporan BH Online, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai masa depan Chong Wei tetapi ada kemungkinan untuk pemain berusia 36 tahun itu bersara.

Chong Wei yang menyedari penyakit itu pada Julai lalu, ketika ini melakukan rawatan di Taiwan dan dijangka pulang hujung bulan ini.

Hendrawan yang melawat pemain negara itu baru-baru ini bersama bekas jurulatih Chong Wei, Datuk Tey Seu Bock berkata, Chong Wei berkata, segala proses rawatan berjalan lancar tetapi tiada sebarang perbincangan sama ada pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu akan kembali ke gelanggang.

“Setakat ini masih tiada perbincangan mengenai masa depan Chong Wei kerana pada masa ini untuk beraksi semula ke gelanggang bukanlah keutamaannya.

“Kami hanya mahu melihat dia pulih,” kata Hendrawan ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

“Bagaimanapun sama ada suka atau tidak, kami di BAM (Persatuan Badminton Malaysia) perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tiada apa boleh kami lakukan.

“Ya, Chong Wei akan kembali semula tetapi jika doktor tidak membenarkannya untuk beraksi di saingan kompetitif, maka dia mungkin bersara,” katanya.

Hendrawan menambah, kesemua perkara membabitkan perseorangan lelaki negara hanya akan dibincangkan selepas kepulangan Chong Wei.

“Seperti saya katakan kami tidak boleh membuat sebarang keputusan ketika ini. Sudah tentu kami perlu duduk berbincang bersama ketua jurulatih Datuk Misbun (Sidek),” katanya.

Seu Bock yang ketika ini menggalas tugas ketua jurulatih perseorangan wanita negara berkata, beliau hilang kata-kata ketika kali pertama melihat Chong Wei di Taiwan.

“Saya harus akui saya sendiri terkejut apabila kali pertama melihat Chong Wei selepas menjalani rawatan. Dia nampak kurus.

“Sudah tentu saya dengan Hendrawan ke sana bukan untuk menambahkan rasa sedihnya, jadi kami cuba menceriakannya.

“Dia seorang pejuang. Di sebalik situasinya ketika ini, Chong Wei tidak pernah berputus asa.

“Malah sebelum kami pulang, dia berkata tunggu kepulangannya,” kata Seu Bock.

Sabtu lalu BAM menerusi satu kenyataan mengesahkan Chong Wei menghidap kanser sekali gus menamatkan spekulasi mengenai penyakit pemain nombor satu negara itu.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan Chong Wei tidak hadir ke sesi latihan selepas dia kembali dari Terbuka Indonesia, Julai lalu.

Seminggu sebelum itu, Chong Wei memenangi Terbuka Malaysia buat kali ke-12 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selepas menyedari penyakitnya itu, Chong Wei menarik diri dari Kejohanan Dunia di Nanjing, China serta Sukan Asia di Indonesia bulan lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");