Sukan Hari Ini

Dua Penalti Bawa JDT Ke Suku Akhir Piala Malaysia

JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa bersusah-payah menunggu sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Kejayaan itu hadir selepas juara lima kali Liga Super itu menewaskan Mifa 3-0 di Stadium Shah Alam sebentar tadi sekali gus mengutip sembilan mata untuk muncul juara kumpulan C.

Tiga gol JDT bagaimanapun hanya hadir di separuh masa kedua menerusi Gonzalo Cabrera (minit ke-62) dan dua gol daripada Safawi Rasid (minit ke-72 dan 81)

Dalam perlawanan itu, JDT selaku pasukan pelawat hadir ke Shah Alam dengan satu misi iaitu wajib menang untuk menempah tiket ke suku akhir.

Sejak wisel permulaan dibunyikan, skuad Harimau Selatan jelas terdesak dan lebih banyak menggasak untuk mencari gol awal.

Hasilnya, satu peluang keemasan tercipta pada minit ke-5, malangnya percubaan yang menerjah jaring hasil situasi kucar-kacir di kubu pelawat tidak disahkan ekoran pengadil mengesan kekasaran dalam kotak penalti oleh pemain JDT.

Selepas itu, pelawat terus menggandakan asakan dan berjaya menghasilkan beberapa lagi percubaan, namun gagal menemui penyudah yang mampu menghasilkan gol.

Pujian juga perlu diberikan kepada barisan pertahanan dan penjaga gol Mifa yang bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan daripada juara bertahan Piala Malaysia itu.

Sesekali, pasukan tuan rumah turut memperoleh peluang menjaringkan gol. Satu sepakan percuma yang diperoleh Mifa pada minit ke-28 berjaya disempurnakan tepat ke arah gol. Namun, Farizal Marlias pantas menepis percubaan tersebut.

Pada minit ke-34, JDT memperoleh peluang terbaik membuka tirai jaringan. Semuanya berpunca daripada situasi kucar-kacir di dalam kotak penalti Mifa, malangnya dua percubaan tepat ke arah gol sekadar singgah di palang sebelum berjaya ditangkap kemas penjaga gol Mifa, Mohd Muhaimin Mohamad.

Lima minit selepas itu, giliran Mifa pula memperoleh peluang keemasan. Larian pantas Seydi L’Imam pada minit ke-39 hampir meletakkan Mifa di depan, malangnya hantaran cantik beliau mencari Bae Beomgeun gagal disempurnakan dengan baik.

Kedudukan seri 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung di babak kedua, kedua-dua pasukan kelihatan sedikit bergelut untuk mencari rentak memburu gol yang dicari-cari.

Tidak banyak percubaan menarik terhasil pada 10 minit pertama separuh masa kedua. Namun di minit ke-55 badi palang sekali lagi menghantui JDT apabila dua lagi percubaan sekadar singgah di palang gol.

Beberapa minit selepas itu berlaku satu insiden dalam kotak penalti Mifa membabitkan Fernando Marquez dengan penjaga gol dan pemain pertahanan tuan rumah hingga menyebabkan kepalanya berdarah dan memaksa beliau dikejarkan ke hospital.

Hasil insiden itu, pengadil telah menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT. Gonzalo Cabrera yang mengambil sepakan tersebut mudah menyempurnakannya dan meletakkan JDT mendahului 1-0.

10 minit selepas itu, pelawat terus mengukuh kedudukan hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-72. Jaringan itu berpunca daripada sepakan percuma yang berjaya dimanfaatkan Safawi untuk menewaskan penjaga gol Mifa.

Sembilan minit sebelum tamat 90 minit perlawanan, pengadil menghadiahkan satu lagi sepakan penalti kepada JDT selepas Safawi dijatuhkan.

Safawi yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan penjaga gol Mifa, sekali gus meletakkan JDT tiga gol tanpa balas dan menceriakan lebih 5,000 penyokongnya di Shah Alam.

Tamat 90 minit perlawanan pengadil meniupkan wisel penamat sekali gus mengesahkan slot suku akhir buat skuad Harimau Selatan.

Selaku juara kumpulan C, JDT bakal ditentang Pahang di pusingan suku akhir nanti memetik sumber Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");