Sukan Hari Ini

Enrique Puji Aksi De Gea Tundukkan England

LUIS Enrique memuji aksi David De Gea sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia selepas bintang Manchester United itu menampilkan aksi memukau ketika membantu Sepanyol menundukkan England 2-1 di Wembley.

De Gea memastikan perlawanan pertama Enrique selaku pengendali skuad La Roja berakhir dengan kemenangan apabila melakukan aksi tangkas menafikan usaha Marcus Rashford dalam babak pertama, sebelum terlibat dalam detik kontroversi sehingga menafikan lawan untuk meraih satu mata, lapor Stadium Astro.

Danny Welbeck menjadikan kedudukan 2-2 tetapi gol itu dibatalkan kerana pengadil mendakwa kekasaran dilakukan ke atas De Gea ketika cuba menangkap bola.

Selepas dikritik hebat susulan persembahan buruk Sepanyol dalam Piala Dunia, di mana mereka tersingkir di pusingan kedua di tangan Russia, aksi De Gea ketika bertemu England membolehkannya menerima pujian Enrique.

“Saya sangat gembira dengan persembahan De Gea,” kata Enrique.

“Dia merupakan salah seorang penjaga gol terbaik dunia dan telah membuktikannya setiap minggu dalam Liga Perdana Inggeris.

“Saya tidak pernah meraguinya. Kesilapan kadangkala boleh meningkatkan anda.”

Dalam masa sama, pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez, yang menyamakan kedudukan buat Sepanyol dalam babak pertama selepas Rashford meletakkan England di depan, turut menerima pujian Enrique.

“Untuk Saul, saya sangat menyukainya,” tambah Enrique.

“Dia memiliki skil dan sangat bijak. Seorang pemain yang sempurna.”

Bagaimanapun, walaupun berpuas hati dengan keputusan yang diraih susulan jaringan kemenangan dariada Rodrigo sebelum rehat, Enrique memberitahu pemain-pemainnya untuk memberi perhatian kepada aksi seterusnya berdepan Croatia.

“Saya rasa kemenangan ini bagus untuk semua. Ia cara sempurna untuk memulakan saingan, menundukkan England di Wembley.

“Bola sepak adalah sesuatu yang terkini dan kemenangan itu kini sudah berlalu. Kami memikirkan tentang aksi seterusnya berdepan Croatia.

“Secara keseluruhan, ia kemenangan yang bagus.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");