Berita Hari Ini

Gandingan Mahathir-Anwar Terbaik Untuk Negara

PUTRAJAYA – Gandingan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kembali menjawat sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan mampu mengembalikan negara kepada “the good old days”, kata Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Timbalan Menteri Industri Utama itu bersetuju dengan cadangan gandingan itu sebagai satu proses transisi sebelum  Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 nanti kerana ia merupakan gandingan yang cukup berwibawa serta dapat meyakinkan pelabur asing.

“Namun, terdapat perbincangan antara Dr Mahathir dan Anwar bahawa perdana menteri akan menjaga negara manakala Anwar akan melakukan reformasi parlimen. Selain itu, Anwar juga menyatakan bahawa beliau tidak mahu campur tangan urusan kabinet.

“Bagaimana ia akan berkembang selepas itu adalah terlalu awal untuk kita komen. Walaupun saya bersetuju dengan cadangan (gandingan) itu, namun saya akan menghormati keputusan dan perbincangan pucuk pimpinan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anwar menyandang jawatan timbalan perdana menteri sejak 1993 sebelum dipecat pada September 1998. Presiden PKR itu akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson setelah penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Berhubung pemilihan PKR bermula 22 September ini hingga 21 Oktober depan, Shamsul Iskandar berkata “Gandingan AA” (Anwar dan Azmin)  iaitu Anwar dan penyandang timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan gandingan mantap dengan pengalaman yang dimiliki mereka.

“Anwar pernah menyandang jawatan pemangku perdana menteri, timbalan perdana menteri, beliau tahu menguruskan negara dan juga mahir dalam Kabinet manakala rekod Azmin membuktikan beliau mahir dalam pentadbiran apabila menguruskan Selangor dengan baik.

“Elemen ini sebenarnya membantu parti meyakinkan rakyat bahawa kerajaan mampu ‘deliver’. Kita ada empat tahun bekerja untuk rakyat sementara menunggu pilihan raya umum akan datang. Saya cenderung untuk mengekalkan momentum ini,” katanya.

Ditanya peluang beliau mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti akan datang, Shamsul Iskandar berkata ia ‘agak baik’ kerana mempunyai ‘modal politik’ dan juru kempen yang sanggup berjuang bersamanya sejak menyandang jawatan Ketua Angkatan Muda PKR dari 2007 sehingga 2013.  – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");