Berita Hari Ini

‘Gila’, Khairy bidas cadangan turunkan had umur kahwin kepada 14 tahun

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini membidas cadangan Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang dilaporkan mahu menurunkan had umur minimum perkahwinan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki sebagai “gila”.

“Gila. Jangan pula ada yang cakap ‘jangan persoal mufti’, ‘pergi belajar agama’ dan lain-lain. Ini adalah kegilaan. Terang dan mudah,” katanya di Twitter.

Terdahulu, Malay Mail memetik New Straits Times melaporkan Bungsu mahu had umur minimum perkahwinan diturunkan daripada 16 tahun bagi perempuan kepada 14 tahun dan 18 tahun bagi lelaki kepada 16 tahun mengikut undang-undang syariah.

Cadangan ini timbul ketika kerajaan persekutuan mahu menaikkan had umur kepada 18 tahun bagi semua lelaki dan perempuan, susulan kontroversi perkahwinan bawah umur mutakhir ini yang merentasi kaum dan anutan.

Sementara itu, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman tidak bersetuju dengan cadangan menurunkan lagi had umur minimum perkahwinan.

Beliau juga tidak bersetuju had umur minimum sedia ada diubah.

“Dari segi syarak dan agama kita dibenarkan kahwin bawah umur. Tidak tentukan berapa umur. Tetapi peraturan sedia ada sudah lengkap, maknanya perkahwinan bawah 16 tahun boleh dibenarkan melalui mahkamah. Peraturan sedia ada tidak perlu ubah dan pinda,” katanya.

Abdul Rahman menyokong peraturan sedia ada kerana berpandangan orang yang mahu berkahwin awal mesti mempunyai masalah tersendiri, seperti terlibat mengandung anak hasil penzinaan.

“Bila ada had akan datang masalah. Seperti contoh, bapa tahu anak mengandung semestinya mahu dikahwinkan awal. Jika ada had umur, maka sudah tentu anak di dalam kandungam telah keluar sebelum kahwin,” katanya.

Pada 2014, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pihak berkuasa negeri memperketatkan syarat perkahwinan bawah umur kerana ia tidak digalakkan Islam atau memanfaatkan kanak-kanak.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa mengumumkan draf akta perkahwinan kanak-kanak akan siap akhir tahun ini bagi mengelak berlakunya lebih banyak kes perkahwinan bawah umur.

Selangor menjadi negeri pertama yang meluluskan pindaan menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun pada 5 September lepas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");