Perak Hari Ini

“Harap Semasa Majlis Penutup Sukma Tak Jadi Perangai Macam Ini Lagi…”

IPOH: Disebalik kemeriahan pembukaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 pada kelmarin, hari ini pula kedengaran tentang sikap segelintir penonton ke Stadium Perak, di sini, yang masih tidak mempedulikan aspek kebersihan.

Ramai berharap agar sikap seperti segelintir yang hadir semasa perlawanan antara Perak dan PKNS Fc pada April lalu itu berakhir namun ia tetap berterusan.

Persiapan pihak penganjur dalam memastikan keadaan dan suasana Stadium Perak bersih dan selesa, malah diberi masuk secara percuma nampaknya dipersiakan sesetengah pihak.

Dalam satu posting oleh seorang pengguna Facebook yang bernama ‘Yasmin Idayu’, beliau menzahirkan kekesalan terhadap segelintir pihak yang tidak menjaga kebersihan Stadium Perak, sewaktu acara pembukaan Sukma Perak 2018 berlangsung.

Berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik oleh individu yang dipercayai seorang guru itu jelas kelihatan plastik makanan, botol dan kotak minuman dibuang sesuka hati.

Keberadaan kerusi stadium yang baharu itu juga dicemari dengan kulit kuaci yang bersepah.

“Perasmian pembukaan Sukma sudah berlalu. Tetapi sikap negatif penonton memang tidak boleh berubah. Sampah dibuang merata-rata. Kulit kuaci dibuang merata-rata. Malah, sudah diingatkan berkali-kali supaya menjaga kebersihan.

“Kita sudah diberi peluang merasi berada pada pembukaan Sukma, masuk secara percuma, melihat persembahan bunga api percuma, persembahan menarik serta konsert percuma itu pun tidak dihargai.

“Diharap agar majlis penutup nanti tidak terjadi ‘perangai’ seperti ini. Berubahlah,” tulisnya pada kapsyen gambar.

Posting itu mendapat lebih 100 reaksi, 39 komen dan 85 perkongsian.

Pada masa sama, posting berkenaan juga mendapat reaksi pelbagai pihak dan kesemuanya turut sama menzahirkan kekesalan mereka.

Pengguna Facebook, ‘Ana Zara Arul’ menyindir sikap segelintir pihak yang beriya-iya mahu ke negara Jepun namun tidak menjadikan sikap mementingkan kebersihan dalam kalangan masyarakatnya sebagai satu pengajaran.

Bagi pemilik akaun Facebook ‘Ku Mohd Hanifas’, dia menggesa agar semua pihak dapat menghentikan sikap sebegini sebelum sebarang tindakan drastik diambil seperti melarang penonton membawa masuk sebarang makanan ke dalam stadium.

Sementara itu, pemegang akaun Facebook ‘Al Firdaus’ pula berkongsi pengalamannya yang hampir terpijak lampin pakai buang ketika berada di majlis pembukaan Sukma Perak 2018, kelmarin.

Di laman sosial Instagram pula, akaun ‘Ipoh City Awesome’ turut sama berkongsi ‘instagram story’ yang dimuat naik pengguna ‘aailraskal’ yang mana pengguna Instagram tersebut juga menzahirkan kekesalnya.

Video yang berdurasi 14 saat itu menunjukkan keadaan sampah yang sengaja ditinggalkan beberapa individu tidak bertanggungjawab ketika berada di Stadium Perak.

“Apabila ditegur dia buat tidak tahu dan pergi dengan meninggalkan sampah. Acara belum bermula, sampah sudah merata. Ini lah sampah masyarakat,” tulisnya pada video berkenaan.

Ipoh City Awesome kemudiannya turut menulis perkataan ‘Sedih’ pada video itu selain ianya ditag kepada akaun Instagram milik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");