Berita Hari Ini

Hukuman Sebat Bagi Pesalah Rasuah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan memandang serius cadangan untuk mengenakan hukuman sebat kepada pesalah jenayah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata rasuah adalah ‘ibu’ kepada jenayah lain dan keadaan di Malaysia memerlukan hukuman sebat mandatori itu dilaksanakan.

“Banyak jenayah lain yang berlaku di Malaysia seperti menipu, rompakan, pendatang tanpa izin, penyeludupan, judi dan baru-baru ini, arak haram.

“Ini semua lahir kerana rasuah berlaku. Kesalahan menipu pun dikenakan hukuman sebat, inikan pula rasuah yang lebih ‘jahat’ dan sebab itu, kita kena ambil serius,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Ulang Tahun SPRM Ke-51 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, malam ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Majlis terbabit yang turut disertai pegawai dan anggota SPRM, dimulakan dengan bacaan Yasin, diikuti solat Maghrib, Isyak serta solat hajat secara berjemaah.

Baru-baru ini, Mohd Shukri mencadangkan hukuman sebat kepada pesalah rasuah sebagai pengajaran kepada mereka.

Beliau berkata, di bawah Akta SPRM 2009, hukuman paling berat yang boleh dikenakan ke atas pesalah rasuah adalah penjara 20 tahun.

“Bagaimanapun, masalahnya adalah apabila ke mahkamah, pesalah akan dikenakan penjara setahun atau dua tahun, sehari pun ada.

“Ada juga (hukuman) 10 atau 12 tahun tapi jika ada sebat mandatori, ia akan lebih mencegah (jenayah rasuah),” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");