Perak Hari Ini

Jangan Solat Jamak Sempena SUKMA

IPOH: Jabatan Mufti Perak menasihati semua pihak termasuk penonton yang terbabit dalam penganjuran majlis penutup Sukan Malaysia Ke-19 Perak (SUKMA PERAK XIX) 2018 di Stadium Perak malam esok, supaya tidak melakukan solat jamak Maghrib dan Isyak.

Jabatan berkenaan dalam kenyataan di sini hari ini, berkata mereka sebaliknya dinasihatkan mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara `tamam’ atau sempurna mengikut rakaat ditetapkan tanpa dijamakkan atau dihimpunkan kedua-dua solat berkenaan dalam satu masa.

Katanya, nasihat itu ditujukan kepada semua pihak yang terbabit dalam majlis berkenaan sama ada atlet, urus setia dan petugas, mereka yang terbabit dalam persembahan serta penonton.

“Jabatan Mufti sudah dirujuk berkaitan isu solat jamak ketika menyaksikan atau mengadakan persembahan dalam upacara pembukaan SUKMA PERAK XIX yang berlangsung pada 12 September lalu,” katanya.

Dalam Islam, solat jamak atau menghimpunkan dua solat pada satu masa iaitu Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak dibenarkan kepada mereka yang bermusafir dan dalam keadaan tertentu.

Selaras itu, jabatan berkenaan menasihatkan semua umat Islam yang terbabit malam esok supaya mengambil berat mengenai kewajipan menunaikan solat dengan mengambil beberapa langkah tertentu.

“Mereka yang berkewajipan melaksanakan solat hendaklah mengambil tindakan awal dengan mengambil wuduk terlebih dahulu dan sentiasa memelihara wuduk itu supaya tidak terbatal.

“Mereka perlu menyediakan pakaian dan kelengkapan solat termasuk sejadah serta berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tuntutan solat di awal waktu terutama solat Maghrib,” katanya.

Kenyataan itu turut dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi dalam Facebooknya kira-kira jam 5 petang tadi.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");