Berita Hari Ini

‘Kalau Tak Mahu Beri Peruntukan, Beri Royalti Minyak Pada Kelantan’

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membidas saranan Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar kerajaan negeri itu mengurus kewangan lebih berhemat.

“Tidak tepat bagi Guan Eng menyarankan kerajaan negeri urus kewangan lebih berhemat kerana selama ini kerajaan negeri sentiasa berhemat dalam perbelanjaan,” katanya dipetik Bernama.

Mohd Amar berkata, tiada negeri boleh berdikari sepenuhnya tanpa bantuan kerajaan persekutuan.

“Kalau tak nak beri Kelantan minta peruntukan, kerajaan persekutuan kena beri royalti minyak kepada kami sebab antara hasil besar kerajaan negeri adalah royalti,” katanya dipetik sebagai berkata.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lim yang menggesa kerajaan Kelantan menguruskan hal ehwal kewangan negeri dengan “lebih bertanggungjawab dan berhemah”.

Dalam kenyataan media 8 Sept lalu, Lim menyorot bahawa Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan iaitu sebanyak RM913 juta.

Jumlah berkenaan terdiri daripada bantuan kewangan defisit sebanyak RM363 juta.

Bantuan itu diberikan kepada negeri dengan hasil yang tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain.

RM550 juta selebihnya pula, kata Lim, adalah wang pendahuluan yang diberikan kerajaan persekutuan bagi membantu Kelantan mengatasi masalah aliran tunai.

Meskipun mengakui bahawa Kelantan penerima bantuan kewangan defisit, Mohd Amar menegaskan bahawa negeri itu juga mendapat anugerah pengurusan kewangan terbaik daripada Ketua Audit Negara.

“Tidak dinafikan dengan hasil yang agak terbatas disebabkan sebuah negeri pertanian maka Kelantan adalah antara negeri penerima bantuan kewangan defisit.

“Dalam soal ini, bukan Kelantan sahaja perlukan bantuan kerajaan persekutuan, semua negeri di Malaysia perlukan bantuan kerajaan persekutuan termasuk Selangor sebuah negeri yang kaya, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Selain itu, dalam kenyataan sama sebelum ini, Lim turut menyorot pinjaman yang dibuat Kelantan daripada kerajaan persekutuan.

Sehingga 30 Jun 2018, jelas Lim, baki pinjaman yang belum selesai adalah berjumlah RM1,413.3 juta dengan jumlah tunggakan sebanyak RM 434.5 juta.

“Tahap tunggakan pinjaman juga menunjukkan ketidakmampuan kerajaan negeri untuk memenuhi dan menguruskan komitmen kewangannya,” kata Lim.

Mengulas perkara itu, Mohd Amar berkata, rekod bayaran balik pinjaman kewangan kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan adalah amat baik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");