Panasnya Hari Ini

Kami Sokong Anwar Bertanding Di Kedah – Mukhriz

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah menyatakan sokongan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya beliau memilih negeri ini sebagai kawasan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya mengalu-alukan Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani atau di mana-mana sahaja kawasan di negeri ini.

“Bayangkan ketika ini Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah Ahli Parlimen dari Kedah, dan jika Anwar bertanding di Sungai Petani atau mana-mana kawasan di Kedah, sudah tentunya saya yakin (beliau) boleh menang.

“Bukan sahaja menang tetapi boleh menang dengan bergaya, selepas itu dilantik pula sebagai Perdana Menteri…jadi dua kalilah kita berturut-turut ada perdana menteri dari Kedah dan pasti membawa tuah kepada negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di sini, hari ini, lapor BH Online.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata demikian bagi mengulas kesediaan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, melepaskan kerusi itu kepada Anwar.

Beberapa pemimpin PKR sebelum ini turut menyatakan kesediaan menawarkan kerusi mereka kepada Anwar.

Selain itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Anwar semalam, Mukhriz berkata kepemimpinan beliau di negeri ini masih diperlukan, malah Anwar turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.

“Jadi tidak langsung timbul isu mengenai penggantian walaupun sebelum ini ada desas-desus mungkin saya dilantik ke Kerajaan Persekutuan. Namun, melalui kesepakatan yang ada buat masa ini saya masih diperlukan di Kedah.

“Malah dalam pertemuan itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai apa yang terbaik bagi rakyat negeri ini tambahan beliau (Anwar) pernah menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan di mana banyak pengalamannya boleh dikongsi,” katanya.

Anwar sebelum ini memberi membayangkan kemungkinan beliau akan kembali semula menjadi Ahli Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");