Panasnya Hari Ini

Keputusan Seri Setia Bukan Suara Sebenar Pengundi – PAS

PETALING JAYA: PAS berpendapat keputusan yang dicapai Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia semalam masih tidak mencerminkan realiti kehendak 53,592 pengundi di kawasan berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata hal itu kerana kemenangan dicapai Pakatan Harapan (PH) dicapai melalui undian hanya 44 peratus.

Katanya keputusan yang diperolehi juga menunjukkan ada sisi positif begitu ketara dialami PAS, seperti jumlah undi popular yang diberikan kepada parti itu melonkak tinggi dan keadaan sebaliknya dialami PH iaitu merosot 8 peratus.

“Berdasarkan keputusan di peringkat saluran mengundi, PAS kembali memenangi keyakinan anak-anak muda khasnya di kalangan pengundi Melayu.

“PAS juga kali ini menang di empat unit peti undi berbanding tidak ada satu pun semasa pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

PAS menurunkan bekas exco Dr Halimah Ali untuk cuba merampas kerusi DUN Seri Setia yang sebelum ini dimenangi PH.

Hasil undian semalam calon PH Halimey Abu Bakar mempertahankan kerusi tersebut dengan kelebihan 4,027 undi. Dia mendapat 13,725 undi berbanding Halimah 9,698 undi dan undi ditolak sebanyak 164.

Secara keseluruhan sebanyak 23,423 kertas undi dikira di Seri Setia semalam.

Untuk rekod pada PRU ke-14 lalu Dr Shaharuddin Badaruddin mempertahankan kemenangan PH di Seri Setia dengan mengalahkan tiga calon lain dengan kelebihan 19,372 undi.

Bekas pensyarah itu mendapat 29,250 undi.

Pencabar PH di kerusi itu ialah BN, PAS dan calon bebas. Bagaimanapun secara bandingan undi diterima calon BN lebih tinggi berbanding PAS dengan masing-masing mendapat 9,897 dan 4,563 undi.

Pada PRK kali ini kedua-dua parti terbabit menjalin kerjasama terbuka sebagai pembangkang dengan harapan dapat memberi cabaran lebih kuat kepada parti kerajaan.

Menurut Roslan Shahir, kerjasama PAS dan Umno ternyata menjadi strategi politik yang berkesan dan ia terbukti dengan keputusan PRK semalam.

Justeru katanya kerjasama berkenaan perlu terus diterokai disebabkan ia diterima baik dan dialu-alukan masyarakat.

“PAS akan terus bersama rakan-rakannya memain peranan memberikan kesedaran politik kepada rakyat sehinggalah berlaku perubahan politik baru menjelang PRU ke-15 nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");