Berita Hari Ini

Kerajaan Galak NGO Promosi i-Suri – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosi dan menyampaikan maklumat mengenai Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) supaya lebih ramai wanita berkelayakan menyertainya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia bertujuan menjaga kebajikan wanita serta memastikan mereka mempunyai simpanan kewangan.

“Pelaksanaan i-Suri ini, bukan semata-mata untuk melaksanakan manifesto Pakatan Harapan sahaja, ia adalah suatu program yang kita yakin, mampu menjaga kemaslahatan golongan wanita dengan memastikan wanita yang tidak bekerja mempunyai tabungan semasa menjangkau usia tua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian majlis Hi-Tea Bual Bicara ‘Dilema Ibu Bekerjaya : Pusat Jagaan, Pengasuh Atau Pembantu Rumah’ anjuran Pertubuhan Wanita Pawana Pandan di Kelab Darul Ehsan, hari ini, lapor Bernama.

i-Suri adalah program di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan pada 15 Ogos lepas.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata 48.5 peratus daripada 32.4 juta penduduk Malaysia adalah wanita.

Justeru beliau berharap golongan itu dapat menggunakan potensi untuk memacu pembangunan dan kesejahteraan negara.

“Kerajaan berhasrat memulakan inisiatif pembangunan kepimpinan wanita, bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk menduduki kerusi lembaga pengarah dalam sektor korporat dan kebolehupayaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang lain,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga menyokong usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi, kesihatan dan keselamatan selain mahu hak serta kehormatan diri mereka dilindungi sebaiknya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");