Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Tubuh Ahli Jawatankuasa Sementara Untuk E-Sukan

IPOH: Bagi meneruskan agenda pemantapan perkembangan e-sukan di Perak, kerajaan negeri mengumumkan pelantikan barisan ahli jawatankuasa protem ataupun sementara, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, kesemua ahli jawatankuasa yang dilantik bagi fasa pertama itu akan bertanggungjawab bagi melaksanakan kajian menyeluruh serta membuat persiapan menerusi cadangan peraturan dan infrastruktur untuk diajukan kepada Majlis Sukan Elektronik Negeri.

Jelasnya, majlis tersebut pula akan ditubuhkan melalui proses undang-undang menerusi enakmen dan ianya akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang, untuk diluluskan.

“Jawatankuasa tersebut selain sebagai mekanisme untuk mewujudkan satu perbadanan, mereka juga bertanggungjawab untuk mengurus dan mewujudkan peraturan bagi semua premis e-sukan.

“Suatu mesyuarat dengan Bahagian Undang-undang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telahpun kita adakan,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambah Howard, antara nama yang akan mengisi barisan jawatankuasa sementara e-sukan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aspirasi Anak Perak (Pasak), Jim Khong; wakil Persatuan Profesional E-Sukan Perak (Pepa), Benny Teh serta wakil The Gaming Company, Adrian Ghaffor.

Selain itu, ia juga turut dibarisi wakil-wakil daripada MBI, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan Telekom Malaysia (TM).

Pada masa sama, Howard berkata, selain Pepa yang turut mewujudkan jawatankuasa mereka tersendiri dalam usaha membantu kerajaan negeri di peringkat lapangan, jumlah ahliu jawatankuasa sementara yang ditubuhkan kerajaan negeri itu juga bakal bertambah dari semasa ke semasa dan mengikut keperluan.

Katanya lagi, mesyuarat pertama kesemua ahli jawatankuasa tersebut akan diadakan pada bulan hadapan.

“Kita sedang mengenalpasti satu lokasi yang bersesuaian serta kemudahan yang diperlukan bagi dijadikan ‘Taman E-Sukan’ untuk orang awam, dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Sekiranya lokasi Taman E-Sukan itu strategik kepada akses masyarakat, ianya juga akan digunakan untuk sebarang kejohanan dan persidangan e-sukan hingga ke peringkat antarabangsa. Malah, kita juga tidak menolak akan mengadakan pusat latihan e-sukan di lokasi tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek ini mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan selain turut membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin membantu membangunkan industri e-sukan di Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");