Berita Hari Ini

Kerajaan Siasat Mengapa Kemajuan Pembinaan Pan Borneo Di Sabah Ketinggalan

BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan Malaysia akan menyiasat sebab-sebab berlaku kelewatan pembinaan bahagian laluan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah walaupun wang pembinaannya telahpun disalurkan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pembinaan bahagian itu agak ketinggalan, oleh itu kerajaan akan siasat ke mana perginya wang yang banyak ini yang sepatutnya sudah menghasilkan kemajuan pembinaan yang ketara.

Beliau berkata walaupun demikian, kerajaan tetap komited untuk meneruskan pelaksanaan pembinaan lebuh raya itu sekalipun mungkin terlewat daripada sasaran awalnya.

Katanya, selain itu kerajaan juga ketika ini berhasrat untuk mencari jalan supaya laluan lebuh raya itu tidak perlu merentasi negara Brunei bagi mengelak proses berkaitan imigresen, dan untuk melancarkan perjalanan antara Sabah dan Sarawak lapor Bernama.

“Jalan yang nak masuk (merentasi) Brunei sudah ada …. tak ada masalah, tapi kalau dapat kita nak elak supaya dapat jalan terus (tanpa melalui kawasan Brunei),” katanya dalam persidangan media di Istana Qashr Munee di sini pada Isnin, hari terakhir lawatan rasmi dua hari beliau ke Brunei.

Terdahulu, perdana menteri mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Merujuk kepada hubungan Brunei dan Malaysia, Dr Mahathir berkata dua negara ini memiliki banyak persamaan yang boleh membantu mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk maju bersama dalam Asean.

Beliau memberi contoh dari segi bahasa di mana Malaysia, Brunei dan beberapa negara anggota Asean lain berkongsi bahasa serta budaya yang hampir sama, mewakili sebahagian besar daripada keseluruhan anggota negara-negara Asean.

Katanya, perbezaan pandangan mungkin sentiasa wujud dari semasa ke semasa namun ia tidak pernah berpanjangan, dan apa yang penting adalah negara-negara berkenaan sentiasa berusaha untuk memandang ke hadapan.

Terdahulu, dalam program syarahan umum di Universiti Brunei Darussalam, Dr Mahathir berkata dua perkara yang menjadi keutamaan Malaysia ketika ini adalah untuk menguruskan soal kewangan terutama berkaitan pengurusan hutang negara, dan soal mengenai jentera kerajaan yang “dirosakkan” oleh pentadbiran sebelum ini.

Berikutan itu, rakyat diminta agar bersabar sebelum dapat menikmati pembaharuan yang sedang diusahakan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");