Berita Hari Ini

Kerja Perobohan Kondominium Highland Towers Bulan Depan

PETALING JAYA: Kerja-kerja perobohan kondominium Highland Towers dijangka bermula bulan depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers, yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek, telah pun mengenal pasti kesemua pemilik unit kondominium berkenaan, dan langkah seterusnya ialah berkaitan hal insolvensi.

“Kalau tidak ada jawatankuasa ini kita tubuhkan hari itu, mungkin bangunan masih lagi seperti itu, tidak tahu siapa lagi pembeli yang tertinggal dan sebagainya, itu semua dah selesai, kita sudah dapat kenal pasti semua pemilik Highland Towers.

“Kerja-kerja perobohan akan dilakukan secepat mungkin, selepas kita selesai urusan insolvensi dan semua keperluan, kita akan cuba meletakkan Majlis Perbandaraan Ampang Jaya untuk melakukan perobohan itu. Ia mungkin mengambil masa sebulan,” katanya lapor Astro Awani.

Zuraida, yang juga Ahli Parlimen Ampang, turut melahirkan harapan agar pelan perancangan semula kawasan itu dapat dikemukakan sebelum akhir tahun ini.

Sebelum ini, menteri itu dilaporkan berkata, pihaknya bercadang untuk membina sebuah taman awam di tapak kondominium yang telah roboh pada tahun 1993 itu.

Ujarnya lagi, sungguhpun wujud cadangan untuk membina perumahan bagi golongan B40, namun tanah itu didapati tidak lagi sesuai untuk didirkan sebarang struktur bangunan tinggi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");