Membawang Hari Ini

Lan Solo Rancang Konsert Bantu Kanak-Kanak Sumbing

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo, bersyukur keadaan anaknya, Nur Amna Quxandra, semakin baik selepas menjalani pembedahan membetulkan bibir sumbing pada 31 Mei lalu.

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata bibir cahaya mata keempatnya itu bagaimanapun perlu dipantau dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, jahitan di bibir Xandra semakin baik, tetapi dia masih perlu dibawa bertemu doktor untuk pemeriksaan susulan.

“Xandra perlu dipantau sehingga usianya 18 tahun. Berikutan proses tumbesaran dirinya, risau nanti ada rekahan di lelangit anak saya.

“Doktor ada memberikan ubat dan mengajar teknik urutan bagi menghilangkan kesan pembedahan. Kini, sekiranya orang tidak pernah tahu keadaan bibirnya (sebelum ini), mereka takkan perasan dia pernah menjalani pembedahan,” katanya kepada BH Online.

Menurut Lan yang muncul dengan single Berpisah Tanpa Rela, April lalu, puterinya itu turut menampakkan perkembangan seperti bayi seusia dengannya.

Sementara itu, Lan turut berkongsi perancangannya untuk mengadakan persembahan amal bagi membantu kanak-kanak senasib dengan anaknya.

“Insya-Allah kalau tiada halangan, persembahan amal ini akan dianjurkan pada November depan bersama organisasi anak-anak sumbing. Begitupun, lokasi dan tarikhnya masih dalam perbincangan,” katanya yang turut memeriahkan acara #FANtastik bersama kelab peminat dan artis di Istana Budaya sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, semalam lapor Berita Harian.

Berpeluang menghiburkan peminat pada kedua-dua acara, termasuk majlis pengumuman hos, artis segmen persembahan dan penyampai trofi pada malam kemuncak ABPBH 31 nanti, Lan berterima kasih kepada penganjur yang memberikannya ruang mempromosikan lagu baharunya itu.

“Terima kasih kepada pihak ABPBH yang menyediakan ruang untuk saya memperkenalkan lagu baharu dan dalam masa sama dapat meluangkan masa bersama peminat, memandangkan banyak kelab peminat artis kita turut mengambil bahagian,” katanya.

Selain dirinya, acara berkenaan turut menampilkan persembahan Khai Bahar, Aman Aziz, Sufian Suhaimi dan Shaa.

Kira-kira 20 kelab peminat (FC) artis membuka booth dan melakukan pelbagai aktiviti bersama selebriti termasuk zumba dan Flashmob X Sorak di Laman Santai, bermula jam 9.30 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");