Membawang Hari Ini

Munafik 2: “Berapa Puluh Juta Yang Diperoleh Tak Dapat Tandingi Nilai Mesej,” Komen PU Amin Yang Sering Dikecam Kerana Dakwahnya

PETALING JAYA: Baru empat hari ditayangkan di pawagam, filem seram Munafik 2 arahan Syamsul Yusof telah mencatatkan kutipan RM21.6 juta.

Sekuel terbaharu ini mengisahkan Ustaz Adam (lakonan Syamsul) yang meneruskan aktiviti dakwah di samping menjadi seorang pengamal perubatan Islam.

Filem pecah panggung yang sedang hangat diperkatakan ketika ini turut mendapat perhatian seorang pendakwah muda, Pencetus Ummah (PU) Amin.

“Betul apa yang dikatakan Ustaz Adam, tak semua manusia memahami kerja sebagai seorang pendakwah.

“Filem ini wajib berjaya. Berapa puluh juta yang diperolehi tetap tidak dapat menandingi nilai mesej yang diberikan,” katanya menerusi status yang dikongsi di akaun Instagram miliknya, petang Isnin.

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim semakin dikenali kerana dakwahnya dalam pelbagai isu, termasuk menegur beberapa selebriti dan usahawan terkenal yang didakwa mencemarkan imej Islam.

Walaupun dikecam hebat netizen juga individu yang ditegurnya, sering kali status dakwahnya di laman sosial dipadamkan sehingga akaunnya turut disekat, beliau terus menyampaikan dakwahnya dengan cara tersendiri.

Selain mesej pengajaran, PU Amin turut tertarik dengan pembukaan filem itu menerusi pesanan sabar dan surah Al-Alaq yang baginya mendamaikan jiwa.

“Dimulakan dengan pesanan sabar sebagai pendakwah dan lima ayat surah Al-Alaq amat mendamai jiwa seorang pendakwah.

“Terima kasih Syamsul, anda berjaya. Anda layak berjaya,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi moral dalam filem Munafik 2 yang mencatatkan kutipan sebanyak RM3.6 juta pada hari pertama tayangannya.

“Selesai menonton Munafik 2. Moralnya, jangan sesekali kita berani gelar orang lain dengan gelaran ‘penunggang agama’ nanti mati hina kena hempap dengan batu.

“Moga yang kuat label ‘tungang tunggang’ ni belajar dari filem Munafik 2,” kata PU Amin mengenai filem bergenre seram yang sarat dengan elemen keagamaan.

Filem Munafik 2 yang turut dibintangi Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi dan Mawi itu menelan belanja sebanyak RM2.8 juta.-Mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");