Panasnya Hari Ini

‘Oh, Ada Lagi PAU? Ingatkan Dah Tapau!’

Siapa yang mudah lupa kepada suasana meriah yang seolah-olah membuat bandar raya Kuala Lumpur menjadi ‘banjir merah’ pada setiap hujung tahun itu?

Selain sambutan perayaan utama penduduk negara ini, himpunan parti Umno ialah acara tahunan yang cukup untuk membuat orang ramai tahu bahawa ada sebuah parti sedang berkumpul, bermesyuarat, berbincang dan berbahas mengenai kepentingan mereka.

Untuk beberapa lama, istilah PAU – atau perhimpunan agung Umno – dikenali. Biasanya ia berlangsung selama empat hari dimulai dengan mesyuarat agung tahunan sayap-sayap parti.

Kemudian barulah ada ucapan dasar yang ditunggu-tunggu. Selepas itu ada perbahasan usul-usul sebelum diakhiri dengan penggulungan.

Maka seorang demi seorang pemimpin kanan mengambil giliran menggulung.

Lazimnya ia akan berlangsung penuh hangat, mesra, meriah dan tebal dengan unsur-unsur lelucon.

Kemeriahan itu sangat ketara, hinggalah tahun ini. PAU tiba-tiba dipersiapkan untuk bersidang hanya selama dua hari iaitu pada 29 dan 30 Sept.

Tak diberi berucap

Ketika ditanya pandangannya mengenai PAU tahun ini, bekas presiden parti itu menjawab pertanyaan Malaysiakini dengan satu lagi pertanyaan.

“PAU? Oh, ada lagi PAU? Saya fikir dah habis (kena) tapau!” katanya secara sinis diiringi dengan senyuman meleret.

Memang pada kebanyakan masa sukar untuk melihat presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu senyum lebar.

Muhyiddin tentu faham benar suasana ‘temasya’ PAU selama ini, kerana beliau sendiri selama puluhan tahun bergelumang bersama parti berkenaan.

Beliau juga menjadi antara pemimpin terakhir diberi peluang menggulung. Mengikut adat, semakin kanan dan penting seorang pemimpin Umno, semakin akhirlah ruang untuknya menggulung diberikan.

Namun pada 2015, Muhyiddin – ketika itu menjadi timbalan presiden Umno – tidak diberikan peluang membuat ucapan penggulungan.

Ia berlaku ketika beliau berada di kedudukan kedua tertinggi parti melalui undi anggota Umno juga.

Ia berpunca daripada kelantangan beliau mempersoalkan cara pemimpin Umno dan kerajaan menangani isu skandal 1MDB. Beliau akhirnya digantung keahlian dalam parti kira-kira setahun kemudian.

Lalu tertubuhlah BERSATU.

Kata Muhyiddin sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14 berakhir beliau tidak pernah lagi memikirkan mengenai Umno.

“Apa yang nak jadi dengan parti itu, bukan hal kita lagi. Soal dia nak bersidang sehari ke, 10 hari ke, atau tak ada bersidang langsung, itu hak dia,” katanya dengan senyum lebar sekali lagi.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau kembali kepada Umno, Muhyiddin dengan tegas menyatakan, ia tidak timbul sama sekali.

“Bodohlah saya (kalau nak kembali kepada Umno). Ia sebuah parti yang tunggang-langgang, masuk longkang… dah hancur.

“Parti itu bukan saja sudah kalah, tapi juga sudah rosak. Sebab itu kami tubuhkan BERSATU,” katanya.

Anggota parlimen Pagoh itu juga berkata beliau sudah melihat kemungkinan Umno tumbang lama sebelum rakyat menolak mereka pada 9 Mei lalu.

“Saya pernah cakap semasa PAU lalu. Saya sampaikan semasa ucapan dasar, saya katakan: jaga-jaga kita boleh kalah.

“Tapi dia (pemimpin Umno) tak dengar cakap saya. Dia fikir dia boleh singkir saya akan selesai masalah. (Sebaliknya) dia yang tersingkir dan saya hidup balik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");