shadow

IPOH:Projek pembinaan blok wanita dan kanak-kanak serta Pusat Kardiologi (MCH) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dijangka siap sepenuhnya pada akhir Disember ini.

Menteri di Kementerian Kerja Raya (KKR) Baru Bian ketika sesi lawatan tapak ke hosiptal berkenaan hari ini berkata projek yang sudah mengalami tiga lanjutan masa itu sudah berada pada tahap 93 peratus siap.

“Projek ini telah bermula pada Ogos 2013 dan sepatutnya siap pada Januari 2017 namun disebabkan masalah teknikal ia ditangguhkan bagaimanapun setakat ini kemajuan fizikal adalah 93 peratus dan 7 peratus sahaja lagi untuk proses pembinaan terakhir.

“Pembinaan hospital ini adalah satu projek yang dinantikan oleh rakyat Perak yang bakal memberi kemudahan kepada semua jadi saya mahu lihat projek ini siap mengikut jadual begitu juga dengan projek pembinaan hospital di seluruh negara yang mengalami penangguhan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mengakui kemungkinan terdapat lanjutan masa keempat yang diharapkan menjadi penanguhan terakhir kepada pembinaan hospital tersebut.

Terdahulu pembinaan hospital tersebut melibatkan kos sebanyak RM237 juta bermula pada 1 Ogos 2013 lalu telah mengalami penangguhan selama tiga tahun enam bulan dari tarikh asal yang dijangka pada 31 Januari 2017.

Pembinaan bangunan hospital 10 tingkat ini khusus untuk wanita, kanak-kanak dan kardiologi yang menempatkan 404 katil pesakit, 6 bilik bedah,dua bilik bedah pembedahan am dan 18 bilik bersalin.

Komen & Pendapat