Perak Hari Ini

Pembukaan Sukma Perak 2018 Penuh Gilang-gemilang

IPOH: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dibuka secara rasminya dalam satu majlis pembukaan yang penuh gilang-gemilang di Stadium Perak, dekat sini, malam tadi.

Perasmian temasya dwitahunan peringkat kebangsaan yang berslogankan ‘Wow! Kita Hebat’ itu berlangsung dengan pelbagai pertunjukan warna-warni yang menonjolkan sejarah dan kepelbagain budaya serta kesenian negeri Perak.

Persembahan lampu elektronik dan laser yang disuntik dengan elemen moden menambahkan lagi keterujaan lebih 40,000 penonton yang hadir walaupun dalam keadaan cuaca hujan.

Keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim serta kerabat diraja ke majlis sekitar jam 8.50 malam menandakan pembukaan acara.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk 15 kontinjen bertanding yang membabitkan sekitar 8,000 atlet dan pegawai pengiring.

Bermula dengan perarakan masuk kontinjen Sarawak, diikuti Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Johor, negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan perbarisan masuk barisan kontinjen Perak yang diketuai atlet lompat tinggi negara, Loo Kum Zee.

Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2014, Ewal Ismail, Datuk Wah Idris, dan penyanyi rap, Shazzwan, kemudiannya tampil untuk menyuntik semangat para atlet yang bertanding pada temasya sukan dwitahunan edisi ke-19 itu dengan nyanyian lagu tema Sukma Perak 2018, Wow! Kita The Greatest.

Kelibat dan telatah maskot ‘Chor’ dan maskot negeri-negeri lain yang muncul sewaktu persembahan lagu tersebut turut mencuri tumpuan yang hadir.

Kemudiannya, persembahan kebudayaan, Indera Sakti, membawa penonton mengenal asal-usul negeri Perak serta kepelbagian budaya masyarakatnya menerusi persembahan pengkisahan muzikal oleh 700 orang peserta.

Antara yang terlibat dalam persembahan tersebut ialah, Kumpulan Selendang Perak, Gema Warisan Budaya Majlis Bandaraya Ipoh, Badan Kesenian Tentera Laut DiRaja Malaysia, SMK Tasek Damai, SMK Jalan Tasek, Persatuan Soka Gakkai Perak dan masyarakat Orang Asli Pos Raya Simpang Pulai.

Selepas sembah ucapan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abd Rahman, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu kemudiannya mengambil tempat menyampaikan sembah ucapan beliau.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal; barisan Exco kerajaan negeri; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta tetamu kehormat lain.

Majlis seterusnya dilengkapkan dengan lafaz perasmian oleh Sultan Perak.

Tumpuan penonton kemudiannya beralih kepada acara larian obor oleh 13 atlet-atlet yang pernah mengharumkan nama negara diperingkat antarabangsa yang diketuai Loo Kum Zee.

Usai menerima obor Sukma Perak 2018, Sultan Nazrin kemudiannya meletakkan keris di kotak pelancaran.

Nyalaan obor pada replika keris yang diiringi dengan pertunjukan bunga api mengamatkan lagi suasana.

Majlis perasmian diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Kejohanan Sukma Perak 2018 dan diikuti dengan bacaan ikrar 15 wakil kontinjen bertanding yang diketuai jaguh menembak negara, Ahmad Khusyairi Abdul Razak.

Majlis pembukaan diakhiri dengan persembahan ‘Pahlawan Dabus’, ‘Perak Wow’, ‘Perak Gemilang’, persembahan ‘drumline’, persembahan ‘War Cry’ oleh Unit Gabungan Tentera 2 Briged serta pertunjukkan bunga api dan lampu laser.

Sukma Perak 2018 yang akal berlangsung sehingga 22 September melibatkan 427 acara dan 40 di semua 12 daerah.

Kali terakhir Perak menjadi tuan rumah penganjuran sukan dwitahunan itu pada tahun 1994.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");