Perak Hari Ini

Perak Mohon Kerajaan Persekutuan Ambil Kira Tempoh Elaun Ketua Kampung

IPOH: Kerajaan Perak memohon agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan untuk mengambil kira tempoh masa pembayaran elaun kepada ketua-ketua kampung atau pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bermula pada Ogos.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata kerajaan persekutuan pada asalnya berhasrat untuk memulakan kiraan tempoh masa pembayaran elaun bermula bulan hadapan namun pihaknya memohon agar ia dapat diawalkan.

“Saya sudah berbincang dengan bahagian pengurusan, kita minta kerajaan persekutuan buat bayaran kepada ketua-ketua kampung bermula Ogos.

“Ada cadangan untuk ia dimulakan pada Oktober tetapi kita mohon budi bicara kerajaan persekutuan kerana kebanyakkan yang telah dilantik sudah pun memulakan tugas mereka pada Ogos,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain itu ujarnya, sehingga kini, daripada 829 MPKK ataupun kampung, sebanyak 52 buah kampung yang masih lagi menunggu perlantikan ahli-ahli yang baharu.

Jelasnya, 10 daripada jumlah tersebut berada di Hilir Perak dan ia mempunyai kekosongan jawatan ahli.

“Kekosongan itu sebenarnya melibatkan 3 buah kampung. Selebihnya kita masih dalam proses menilai cadangan supaya ia digabungkan.

“Masalah di sini apabila kampung-kampung tersebut jumlah keluarganya kecil. Kelayakkan untuk MPKK harus mempunyai sekurang-kurangnya 200 keluarga. Namun cadangan menggabungkan kampung tersebut memerlukan persetujuan Pejabat Daerah,” katanya.

Tambahnya Asmuni, di Hulu Perak pula, daripada 60 MPKK, 22 nama yang telah disenarai pendek masih lagi menunggu keputusan lanjut berhubung tapisan pihak polis, insolvensi serta pejabat daerah yang dijalankan ke atas mereka.

Walau bagaimanapun, katanya pihak beliau akan menilai semula kesemua nama yang gagal melepasi saringan polis.

“Kita terima laporan ada yang dikatakan mempunyai rekod jenayah tetapi ada yang kita tidak berpuas hati kerana terlalu umum.

“Ada yang hanya dicaj di mahkamah dan ada juga tidak ada tindakan lanjut. Kita berpegang kepada prinsip seseorang diangggap tidak bersalah sehingga dapat dibuktikan kesalahan,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");