Perak Hari Ini

Perak Noodle Fest 2018 Bakal Ketengahkan Makanan Tempatan Berasaskan Mee

IPOH: Jika sebelum ini festival makanan berasaskan mee hanya diadakan di luar negara, namun atas inisiatif Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT), ianya julung kali bakal diadakan di Kompleks Silveritage Galleria, dekat sini, selama tiga hari bermula 14 September ini.

Acara yang diberi nama ‘Perak Noodle Fest 2018’ itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Tourism Malaysia Perak, serta kerajaan negeri menerusi agensi Tourism Perak.

Pengarah Motac Negeri Perak, Mohd Hizaz Mohd Ibrahim berkata tujuan utama penganjuran program ini adalah sebagai medium memperkenalkan makanan-makanan tempatan khususnya yang berunsurkan mee.

Jelasnya, Perak Noodle Fest 2018 bakal menampilkan lebih kurang 20 vendor mee yang mempunyai keunikan dan citarasa tersendiri.

“Di Perak, setiap daerahnya kebiasaanya ada mee mereka tersendiri seperti mee kicap di Ipoh, mee udang di Taiping dan laksa mee di Pulau Pangkor.

“Para vendor ini akan bawa semua mee di seluruh Perak ke program ini dan ia secara tidak langsung merupakan salah satu cara mempromosikan produk-produk makanan kita,” katanya.

Tambahnya lagi, selain pameran makanan, antara acara sampingan yang turut bakal diadakan ialah Silveritage Street Art Bazaar, Car Boot Bazaar, pameran kereta, pameran barangan antik, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.

Ujarnya, Perak Noodle Fest 2018 mensasarkan sekitar 20,000 orang pengunjung termasuk pihak dan wakil-wakil kontinjen dari temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 yang bakal berkampung di Perak bermula 12 sehingga 22 September ini.

“Kita berharap penganjuran program ini, selain dapat mempromosikan Kompleks Silveritage Galleria ini, ia juga diharap dapat memberi limpahan ekonomi kepada pihak-pihak lain seperti para peniaga di sini, pengusaha-penguasaha hotel, agen-agen pelancongan serta pemandu-pemandu teksi sekitar Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Perak Noodle Fest 2018, di Kompleks Silveritage Galleria Medan Gopeng, dekat sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Pengurus Besar PORT, Zamari Muhyi tidak menolak bahawa penganjuran festival makanan tersebut bersempena dengan SUKMA Perak 2018.

Katanya, program seumpama ini bukanlah bersifat ‘One off’ sebaliknya, PORT akan terus bekerjasama dengan beberapa pihak lain khususnya kerajaan negeri, bagi terus mempromosikan Kompleks Silveritage Galleria sebagai lokasi tarikan umum.

“Pada Oktober nanti kita akan adakan acara motor klasik, pada bulan September pula kita bakal adakan pameran barangan klasik dan dijangka Pekan Kartun akan diadakan pula di sini pada Disember nanti,” jelasnya.

Pada masa sama, Zamari turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang masih berminat untuk menyertai Perak Noodle Fest 2018.

Mereka yang berminat boleh tampil sendiri ke pejabat PORT di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini, ataupun menghubungi mereka di talian 05- 241 2287.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");