Sukan Hari Ini

Perak Pertaruh 8 Pemain PKNP

KUALA LUMPUR: Lapan pemain PKNP FC menjadi taruhan utama Perak untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) sekali gus mahu melakar sejarah memenanginya tiga kali berturut-turut.

Memetik laporan BH Online, lapan pemain itu terdiri daripada Syafiq Afifi Suhaimi (penjaga gol), Filemon Anyie Standly, Sabir Salim, Syahmi Shukri (pertahanan), Afif Safwan Sallahuddin, Hafidz Kamaruddin, Aysraaf Mat Pushni dan Saifuddin Khairil Anuar (penyerang) akan menjadi tonggak utama sambil dibantu pemain Piala Presiden Perak.

Jurulatih Chan Wing Hoong berkata, pendedahan diterima lapan pemain itu sepanjang bersama skuad utama PKNP sudah cukup mematangkan mereka untuk beraksi pada SUKMA kali ini sekali gus diharap mampu memikul tanggungjawab diberikan.

“Sejak awal musim ini, kami menyerap pemain pasukan Piala Presiden secara berperingkat ke dalam skuad utama PKNP bagi tujuan memberikan mereka pendedahan.

“Malah beberapa pemain seperti Alif, Sabir, Syafiq dan Filemon beberapa kali diturunkan dalam kesebelasan utama PKNP untuk perlawanan Liga Super.

“Saya rasa dengan pengalaman beraksi dalam Liga Super, mereka sudah cukup matang untuk membawa cabaran Perak pada SUKMA kali ini malah saya tidak nafikan mereka menjadi sandaran utama untuk mempertahankan emas,” katanya.

Selain lapan pemain itu, Perak turut diperkuatkan oleh penjaga gol simpanan skuad Liga Super The Bos Gaurus, Nasrullah Aziz dan Derek Leong yang beraksi di luar negara bersama City University of Hong Kong dalam Liga Universiti Hong Kong.

Wing Hoong yang juga penolong jurulatih PKNP bagaimanapun tidak mahu terlalu yakin atau memberi tekanan ke atas pemainnya untuk memenangi emas walaupun menyedari harapan yang diletakkan ke atas mereka amat tinggi.

“Sebagai juara dua kali berturut-turut (2014 dan 2016), memang Perak mahu mencipta sejarah untuk melakukan hatrik. Tapi kami tidak boleh terlalu yakin kerana pasukan seperti Kedah dan Terengganu juga memiliki skuad yang kuat.

“Kami lebih selesa mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan tanpa terlalu memikirkan mengenai emas. Ia bagi mengelak pemain daripada tertekan,” ujar Wing Hoong.

Perak beraksi dalam Kumpulan A bersama Sarawak, Negeri Sembilan dan Perlis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");