Berita Hari Ini

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang Dikekal Dan Ditambah Baik

BUTTERWORTH: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji pengoperasian dan model bersesuaian untuk menambah baik perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan baharu bagi penambahbaikan perkhidmatan feri tersebut.

“Kita akan lihat bagaimana menambah baik dan pastikan perkhidmatan feri ini lebih efisien. Memang ada pelbagai cadangan tambah ‘water taxi’, ‘catamaran’ dan sebagainya. Itu kita akan lihat bagaimana menambah baik lagi.

“Tapi setakat ini belum ada apa-apa keputusan muktamad berkenaan apa-apa cadangan baharu. Apa sedia ada itu kita akan kekalkan dan kita akan tambah baik terlebih dahulu,” katanya selepas melawat Penang Sentral, di sini pada Khamis lapor Bernama.

Terdahulu, Loke menaiki feri dari bahagian pulau ke Penang Sentral, di sini.

Beliau mengakui pengoperasian perkhidmatan feri itu yang kini dikendalikan Rapid Ferry milik Prasarana memerlukan kos tinggi dan berterusan memandangkan tambang dikenakan adalah rendah dan sehala, namun beliau memberi jaminan perkhidmatan itu akan dikekalkan.

Ditanya sama ada terdapat cadangan penswastaan perkhidmatan itu, Loke berkata buat masa ini pihaknya belum menerima permohonan daripada mana-mana syarikat swasta berhubung perkara tersebut.

“Kita terbuka kepada sebarang cadangan. Pada masa ini, kita sedang mengkaji dan sudah tentu Kementerian Kewangan juga melihat kepada pelbagai cadangan agar perkhidmatan itu lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata pihaknya akan berbincang dengan syarikat terlibat, Penang Sentral Sdn Bhd, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan syarikat bas untuk menentukan kadar tambang kepada syarikat bas dan pengguna.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan kadar tambang dikenakan kelak berpatutan dan tidak membebankan pengguna dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan bas.

“Yang pentingnya kita nak syarikat-syarikat bas itu dapat menggunakan kemudahan di sini. Kalau mereka tidak menggunakan kemudahan di sini maka ia tidak akan berjaya.

“Kita akan berunding dengan pihak pengurusan untuk lihat satu situasi ‘menang-menang’. Saya harap dapat memutuskan kadar tambang ini dengan segera supaya operasi ini dapat dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.

Fasa pertama Penang Sentral, satu-satunya projek Pembangunan Berorientasi Transit (TOD), terletak di Butterworth, dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang Disember tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");