Perak Hari Ini

Perpaduan Sesama Umat Islam Wajib Diperkukuhkan- Sultan Perak

IPOH:Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya perpaduan sesama umat Islam wajib diperkukuhkan dalam usaha membangunkan negara yang aman serta makmur.

Titah baginda perpaduan sesama rakyat pelbagai agama-pelbagai kaum pula wajib disuburkan, untuk membina kehidupan yang damai dan harmoni.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440/2018  Peringkat Negeri Perak di Ipoh Convention Centre (ICC) hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Baginda bertitah seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi.

“Toleransi yang dimaksudkan tidak bererti umat Islam diperlukan mengakui doktrin keyakinan agama lain, kerana dalam persoalan akidah, Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan.

“Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam, menyentuh aspek muamalah harian, ia itu, perkara-perkara berkaitan urusan dunia dan kehidupan manusia, di samping mengamalkan akhlak yang baik ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah lagi semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah perlu dihayati begitu juga falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

“Sesebuah negara terbentuk, lalu dibangunkan kerana adanya titik pertemuan hasrat dan matlamat di kalangan ummah untuk bernegara.

“Persekutuan Tanah Melayu disusuli enam tahun kemudiannya dengan penubuhan Malaysia, ialah sebuah negara baru, dilahirkan pada tahun 1957, kerana adanya titik pertemuan hasrat dan titik pertemuan matlamat di kalangan penduduk bumi ini, untuk membentuk sebuah negara bercorak Persekutuan, di bawah payung naungan pemerintahan seorang Yang di-Pertuan Agong, yang didukung oleh Raja-raja Pemerintah daripada setiap negeri, dan di bawah pentadbiran sebuah Kerajaan Persekutuan, dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan di peringkat negeri,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");