Jenayah

Polis Cari Muhammad Asmuhairyl Abas

ALOR SETAR: Polis sudah mengenal pasti suspek kedua yang terbabit dalam kejadian kes samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek terbabit dikenali Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, diminta tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya percaya lelaki terbabit masih berada dalam daerah Sungai Petani dan jika enggan menyerah diri, polis akan mengesan dan menahannya.

“Kita juga percaya barangan samun itu berada bersamanya dan dia diminta tampil menyerah diri sebelum pihak polis sendiri memburu dan menahannya dalam tempoh terdekat.

“Siasatan juga mendapati dia tidak memiliki rekod jenayah lampau dan tidak bekerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ops Cantas Khas di hadapan Masjid Zahir, malam tadi, lapor BH Online.

Mior Faridalathrash berkata siasatan awal mendapati mereka melakukan jenayah samun kerana menghadapi masalah kewangan dan ingin membeli bekalan dadah.

“Suspek pertama yang ditahan hari ini juga kudung kaki kanan dan tidak bekerja.

“Malam ini kita mendedahkan gambarnya dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu pihak polis,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, kelmarin ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, semalam.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain ada netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");