Perak Hari Ini

‘Projek Daki’ Beri Ruang Pada Belia Terokai Bukit Di Daerah Kinta

GOPENG: Ketinggian Bukit Batu Putih, dekat sini, yang mencecah 135.9 meter tidak menghalang sekitar 43 orang belia bagi mencabar ketahanan mental dan fizikal masing-masing dalam mendaki bukit tersebut, pagi tadi.

Program yang diberi nama ‘Projek Daki’ anjuran Musician and Extreme Sports Charitable Organisation (Mesco) itu merupakan julung kali yang diadakan yang melibatkan acara sukan mendaki.

Presidennya, Mohd Farid Zamri, 32, berkata penganjuran program tersebut merupakan inisiatif Mesco dalam memberi peluang kepada orang ramai, terutamanya yang melibatakan golongan belia amatur untuk mendekati sukan tersebut.

Selain itu, katanya, pemilihan Bukit Batu Putih sebagai peluncuran Projek Daki juga sebahagian daripada usaha mereka bagi memperkenalkan kepada umum tentang keberadaan kawasan rekreasi tersebut yang sarat dengan pemandangan flora yang indah.

“Bukit Batu Putih ini tidak berada dalam senarai yang harus dilawati oleh pelancong ke negeri ini. Ramai yang kata pemandangan di puncak bukit itu cantik tetapi tidak ramai yang tahu.

“Hanya orang tempatan sahaja tahu. Sebab itu kami memilih lokasi ini,” katanya kepada PerakToday selepas menyempurnakan acara pelepasan peserta di kaki Bukit Batu Putih, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, Projek Daki ini juga berkemungkinan akan diteruskan penganjurannya di semua bukit di sekitar daerah Kinta bagi tujuan yang sama dan ianya termasuk dengan beberapa lokasi pendakian yang jarang diketahui umum.

Beliau tidak menolak kemungkinan selepas ini, Mesco akan menganjurkan Projek Daki di Bukit Kledang dalam masa terdekat.

Selain itu, walaupun program pendakian tersebut merupakan pengajuran sulung namun Mohd Farid berkata, Mesco sebelum ini juga terlibat dengan penganjuran pertandingan sukan papan selaju, basikal fixie dan BMX, selain terlibat dengan program-program anjuran bersama pihak lain.

“Kita mensasarkan golongan belia namun ia tidak bermakna kita menghalang golongan yang lebih berusia untuk menyertai program-program kita,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muamar Ghadafi Jamal yang hadir pada majlis pelancaran pagi tadi turut menyambut baik usaha yang ditunjukkan Mesco dalam mengetengahkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

“MBM selaku penganjur bersama, kita menyokong acara-acara seperti ini termasuk bukan sahaja yang dianjurkan oleh badan-badan gabungan MBM, malah kita juga menyokong persatuan belia lain yang juga mempunyai matlamat yang sama.

“Iaitu memperkasakan serta melibatkan golongan belia dalam apa sahaja aktiviti seperti ini,” jelasnya.

 

Sambutan Menggalakkan

Seawal jam 7.30 minit pagi lagi, para peserta sudah tiba di kaunter pendaftaran Projek Daki 2018, di kaki Bukit Batu Putih.

Ada antara mereka yang bekerja di Kuala Lumpur sanggup pulang ke Ipoh, bersempena dengan cuti Umum Hari Kebangsaan, dan mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti sihat tersebut.

Sekitar jam 8 pagi, kesemua peserta diberi taklimat ringkas selain memperkenalkan juru pandu bagi kumpulan peserta lelaki dan peserta perempuan.

Aktiviti pendakian yang memakan masa lebih 30 minit, ditambah dengan permukaan tanah yang licin disebabkan cuaca hujan, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk sampai ke puncak.

Setibanya di puncak bukit, kesemua peserta meluangkan masa sekitar 5 minit untuk menikmati pemandangan hijau bukit-bukau dan hutan di sekitar daerah ini.

Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan.

Usai semua peserta turun, mereka kemudiannya disajikan jamuan tengah hari selain penyerahan sijil penyertaan.

Penganjur juga turut mengadakan sesi cabutan bertuah bagi peserta-peserta yang terlibat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");