Panasnya Hari Ini

Rancangan Halang Anwar Jadi Presiden PKR Wujud: Rafizi

SHAH ALAM – Bahang pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR semakin hangat dengan Naib Presidennya, Rafizi Ramli mendedahkan terdapat cubaan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi presiden parti.

Malah, beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya sebelum ini mendakwa Datuk Seri Azmin Ali pernah bertemu Anwar di Turki dan meminta beliau tidak bertanding jawatan presiden.

Menurutnya, sehingga kini masih tiada penafian dibuat berhubung pendedahannya itu, membuktikan apa dikatakannya adalah benar.

“Azmin pergi Turki jumpa Anwar Ibrahim, minta Anwar tak bertanding presiden dan dia nak bertanding. Sampai sekarang tak dinafikan (pendedahan Rafizi).

“Kalau yang saya sebut ini bohong, saya dah kena saman sebab dia (Azmin) ada peguam hebat. Kalau saya cakap bohong, peguam beliau dah saman saya.

“Nafi tidak, saman tidak, surat pun tiada sebab saya cakap betul,” katanya ketika berucap dalam satu majlis bersama ahli PKR, di sini, malam tadi lapor Sinar Harian.

Tambahnya lagi, rancangan menghalang Anwar menjadi presiden bertujuan untuk menggagalkan usaha bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjadi Perdana Menteri Kelapan.

“Memang ada rancangan daripada awal untuk langgar Anwar Ibrahim, memang daripada awal ada rancangan tak mahu Anwar jadi presiden.

“Bila orang lain jadi presiden, perbincangan di peringkat PH siapa perdana menteri seterusnya, akan ada suara kata anwar tak boleh jadi perdana menteri sebab tiada jawatan dalam parti.

“Sebab itu kita tunggu sampai setengah jam terakhir (hantar borang pencalonan) untuk tahu bahawa Azmin tak cabar Anwar Ibrahim sebab mereka duk bincang nak lawan ke tak lawan,” ujarnya.

Pertembungan Rafizi dan Azmin dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR menjadi bualan hangat memandangkan kedua-duanya merupakan nama besar dalam arena politik negara.

Berdasarkan perjalanan kempen, masih belum dapat dipastikan siapa yang bakal memenangi jawatan itu dan semuanya terserah kepada lebih 800,000 ahli PKR untuk memilih pemimpin mereka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");