Berita Hari Ini

Rungutan Pengusaha Kem PLKN Dibentangkan Kepada PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan berjanji akan membangkitkan isu penamatan kontrak pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ke Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok.

Menterinya, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata, beliau mengambil maklum masalah dan rungutan pengusaha kem terbabit selepas kontrak mereka ditamatkan.

Katanya, walaupun PLKN bukan di bawah portfolio kementeriannya, beliau turut mengambil maklum masalah dihadapi pengusaha kem terbabit kerana ia sedikit sebanyak berkaitan usahawan.

“Insya-Allah, saya akan panjangkan hal ini kepada Perdana Menteri esok di Mesyuarat Kabinet dan setahu saya, belum ada satu perbincangan khusus mengenai penamatan kontrak kem PLKN ini.

“Keresahan adalah daripada pihak pengusaha. Apa saja ketidakpuasan hati, saya bawa terus kepada beliau (Perdana Menteri),” katanya pada majlis makan malam dan sesi dialog bersama Persatuan Pengusaha Kem PLKN di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Hadir sama Presiden Persatuan Pengusaha Kem PLKN, Datuk Seri Ahmad Kamil Ibrahim.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Belia dan Sukan berhubung arah tuju PLKN dan Biro Tata Negara (BTN).

Sementara itu, Ahmad Kamil berkata, seramai 74 daripada 79 pengusaha kem PLKN di seluruh negara sudah menerima surat penamatan kontrak berkenaan hari ini.

“Kami amat mengharapkan menteri dapat mengangkat masalah ini kepada Kabinet dan Perdana Menteri.

“Kira-kira 3,000 pekerja di kem PLKN akan hilang pekerjaan dan mereka ini duduk di pinggir bandar. Sudah 15 tahun mereka bekerja dengan kami.

“Jadi macam mana mereka mahu mencari nafkah menanggung keluarga masing-masing. Saya harap menteri dapat membantu menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan, Kabinet memansuhkan PLKN dan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam dua mesyuarat Kabinet sebelum ini.

Beliau dipetik berkata, PLKN dan BTN akan diganti dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa depan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");