Sukan Hari Ini

Speedy Tigers Terperangkap Strategi Samurai

JAKARTA: Semangat samurai tampak berjaya diserap sepenuhnya pemain Jepun yang melakar kejutan membenam skuad negara pada perlawanan akhir hoki lelaki Sukan Asia, semalam.

Ia juga menjadi antara faktor utama skuad negara kendalian Stephen Van Huizen gagal mempertahankan kelebihan selepas selesa mendahului lawan hingga diheret ke penentuan penalti.

Hakikat itu diakui pengendali Jepun, Siegfried Aikman selepas pasukannya melakar sejarah meraih pingat emas Sukan Asia buat julung kali.

“Sejarah samurai di Jepun terutamanya membabitkan semangat juang tinggi serta strategi yang tepat menjadi motivasi kepada pasukan. Saya sering ingatkan pemain mengenai perkara ini dan bercerita mengenainya kepada mereka.

“Saya ulanginya dalam bilik persalinan kepada mereka (ketika ketinggalan 2-4 kepada Malaysia). Samurai bukan saja seorang pejuang namun dia menghayati keindahan seni mempertahankan diri,” katanya.

Jepun bangkit pada babak kedua sekalipun ketinggalan 2-4 dan kemudian mempamerkan kebangkitan antara terbaik dalam sejarah final untuk mengikat kedudukan 6-6 hingga tamat perlawanan.

Akhirnya, mereka menang 3-1 menerusi penentuan penalti untuk meranapkan impian Malaysia meraih emas buat kali pertama dan tiket awal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Seperti seorang samurai, kemenangan ditentukan menerusi strategi. Jadi kami perlu tenang dan tidak panik dengan situasi semasa. Apabila anda mempunyai strategi yang bagus dan melaksanakannya, anda mampu meraih kemenangan.

“Impian kami hadir ke sini adalah untuk menang emas. Apa saja yang berlaku kami mahukannya, gagal bukan menjadi pilihan kami,” katanya yang mengendalikan Jepun sejak 2009.

Menurut ketua jurulatih dari Belanda itu, Jepun sudah berjaya membina pasukan yang mempunyai semangat sepasukan tinggi dengan kejayaan membawa pulang emas bersejarah itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");