Berita Hari Ini

SPRM Nafi Mahu Soal Siasat Hishammuddin

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Shukri Abdull menafikan dakwaan peguam bahawa pihaknya mahu menyoal siasat bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammddin Hussein berhubung dakwaan penyalahgunaan dana melibatkan pegawai risikan kerajaan.

“Tidak, saya tidak dimaklumkan. Pegawai saya tidak beritahu saya. Jadi saya kira itu tidak betul,” katanya dipetik portal The Malaysian Insight.

Shukri berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Shaharudin Ali, peguam bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid yang sebelum ini mendakwa SPRM mahu menyiasat Hishammuddin dan dua putera diraja Arab Saudi.

Menurut Shaharudin, perkara itu dibangkitkan ketika SPRM memohon melanjutkan reman ke atas anak guamnya selama tujuh hari.

“Nama Datuk Seri Hishammuddin disebut sebagai orang yang mungkin juga disiasat oleh SPRM berkaitan dengan isu Datuk Hasanah dan tujuh pegawai MEI0 yang lain. Jadi mereka mengatakan bahawa mereka akan menemuduga Datuk Hishammuddin tak lama lagi.

“SPRM juga mengatakan mereka juga ingin mengesan dua orang putera raja Saudi Arab. I have no idea how these people are involved (Saya tidak tahu bagaimana orang ini terbabit). Saya difahamkan perkara-perkara yang disebut oleh SPRM ini hendak dilakukan dalam tempoh tujuh hari – tempoh yang mereka pohon.

“Datuk Hasanah juga menafikan Datuk Hishammuddin dan dua (putera) Arab Saudi terlibat dengan apa cara pun dalam kes ini,” kata Shaharudin kepada wartawan selepas prosiding reman hari ini.

Bagaimanapun, jelas Shukri, SPRM hanya hanya melanjutkan sehari reman ke atas Hasanah.

Hasanah ditahan SPRM pada 28 Ogos sebelum dikenakan reman lima hari keesokan harinya.

Penahanan itu berhubung dakwaan penyelewengan AS$12 juta dana melibatkan pegawai risikan kerajaan.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");