Berita Hari Ini

SST: Harga Barangan Masih Kekal

Hari pertama pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hari ini menyaksikan kebanyakan barangan terutama barangan keperluan tidak mengalami peningkatan.

Masih terlalu awal untuk memperkatakan kesan SST terhadap harga barangan kerana peniaga masih menjual barangan stok lama yang tidak dikenakan cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang telah dimansuhkan sejak tiga bulan lalu, sekaligus pelaksanaannya masih belum memberi impak kepada pengguna setakat ini.

Bagi pengguna mereka mengharapkan agar situasi ini berkekalan kerana SST seharusnya memberi kesan minimum kepada pengguna sambil menggesa pihak berkuasa memantau peniaga.

Di KEDAH, tinjauan Bernama di sebuah kedai makan nasi kandar terkenal di Jitra mendapati tiada kenaikkan harga yang berlaku dan harga makanan dan minuman di premis itu masih kekal sama.

Seorang pekerja kedai makan tersebut berkata sebarang kenaikan harga makanan dan minuman akan dimaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu.

“Buat masa ini semua harga masih pada harga lama kerana bekalan bahan mentah kami beli dengan harga borong sebelum pelaksanaan SST ini. Jika ada kenaikan, kami akan maklumkan kepada pelanggan yang datang ke kedai,” katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama di Pasar Besar Jitra juga mendapati para peniaga tidak menaikkan harga barangan bahan mentah.

Berkuatkuasa hari ini, SST dilaksanakan dengan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan, menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

Sebelum ini, GST mula dikuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar sebanyak enam peratus setelah diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bagi menggantikan SST.

Di PAHANG, situasi sama berlaku apabila tinjauan di sebuah kedai makan di Kuantan, mendapati harga makanan dan minuman yang dijual masih sama seperti semalam, dan rata-rata pelanggan berharap perkara itu dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Bagi pekerja swasta Mahidi Ahmad, 49, harga barangan di sebuah kedai runcit di Kuantan masih sama semasa membeli barangan keperluan hari ini.

“Sebenarnya saya bimbang juga jika ada perbezaan harga jika ke pasaraya pada hujung bulan ini untuk membeli barangan dapur selepas gaji… bimbang ada peningkatan ketara dalam jumlah semua pembelian kerana lazimnya beli dalam kuantiti kecil ini tidak begitu terasa,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, tiada perubahan harga direkodkan bagi harga biskut berdasarkan perbandingan yang dibuat semalam dan hari ini.

Berdasarkan tinjauan di sebuah pasaraya semalam telah merekodkan pembelian sebungkus biskut jenama Hup Seng pada harga RM3.95 dan hari ini harganya masih kekal sama.

Seorang pengguna, Dewi Jidin, 58, berkata harga yang ditawarkan masih masih sama walaupun pelaksanaan SST telah dilaksanakan hari ini.

“Harga masih lagi stabil kerana sebelum ini saya membeli beras dengan yang sama RM13.90 bagi lima kilogram beras, pelaksanaan SST ini masih baru lagi, jadi tidak nampak kenaikan harga di situ,” katanya.

Di JOHOR, tinjauan di sebuah rangkaian kedai kek, roti dan biskut di Johor Bahru mendapati berlaku kenaikan harga biskut yang dijual, namun harga kek dan roti masih sama berikutan diberikan pengecualian SST.

“Harga sebalang ‘Pineapple Cookies’ seberat 290 gram sebelum SST adalah RM22.50 berbanding RM23.80 hari ini manakala ‘Nougat Biscuit’ mengandungi 10 keping biskut dijual pada harga RM13.50 sebelum ini berbanding RM14.20 hari ini,” kata pekerja kedai berkenaan, Nurul Shamierah Nor Iskandar Shah, 23.

Sementara itu, seorang pekerja sebuah restoran hidangan India berdekatan yang enggan dikenali berkata harga menu di restoran tersebut masih kekal seperti semalam berikutan premis itu tidak mengenakan cukai perkhidmatan.

Katanya harga kesemua menu termasuk sepinggan briyani ayam kekal dijual pada harga RM14.90, naan kosong (RM3.90) dan teh tarik (RM2.40).

Di PERAK, tinjauan di beberapa kedai barangan elektrik di Teluk Intan mendapati banyak kedai sudah mula melakukan proses penukaran sistem GST kepada SST dengan mempamerkan harga baharu bagi barangan elektrik, yang berlaku peningkatan harga.

Ini kerana barangan elektrik termasuk dalam senarai barangan dikenakan SST (cukai jualan) sehingga 10 peratus.

Di Ipoh, tinjauan mendapati hotel-hotel ternama mula melaksanakan SST (cukai perkhidmatan) sebanyak enam peratus berkuatkuasa hari ini.

Sebuah hotel telah mula mengenakan cukai perkhidmatan tepat 12 tengah malam tadi dan dimaklumkan tiada sebarang rungutan daripada pelanggan.

Tinjauan di pasaraya dan kedai runcit di Lumut pula mendapati tidak berlaku kenaikan harga malah terdapat pasaraya dan kedai runcit yang masih menawarkan harga diskaun terhadap beberapa barangan.

Seorang pembeli, Ramlah Abu Kassim, 68, berkata dia melihat harga barangan masih sama dan yakin pelaksanaan SST tidak akan menyebabkan peningkatan harga secara mendadak berbanding GST sebelum ini.

“Hari terakhir saya membeli di pasaraya ini adalah Khamis lalu dan hari ini saya lihat harga barangan yang saya beli masih kekal sama biarpun SST bermula hari ini,” katanya.

Di PERLIS, tinjauan di sekitar Kangar mendapati hanya rangkaian restoran makanan segera yang mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bagi setiap pembelian di premis itu.

Bagi restoran dan pasaraya, harga jualan masih tetap pada harga sama seperti sebelum ini.

Seorang pekerja di sebuah rangkaian farmasi yang enggan dikenali berkata buat masa ini pihaknya masih belum menerima arahan meletakkan harga baharu pada setiap produk yang dijual, namun dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa harga akan berubah setelah pelaksanaan SST.

“Saya tidak tahu sama ada harga barang akan naik atau turun. Hari ini baru bermula SST, harga masih sama dan saya rasa mungkin akan berubah dalam sehari dua ini,” katanya.

Di MELAKA pula, harga barangan keperluan, makanan dan minuman masih tidak mempunyai perubahan berbanding semalam.

Sebuah restoran di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka semalam meletakkan harga mi goreng ayam RM7.50 manakala harga minuman bagi segelas teh ais adalah RM1.60, dan harga tersebut kekal hari ini.

Selain itu, tinjauan di sebuah pasar raya di Ayer Keroh mendapati barang keperluan seperti ayam, ikan dan sayuran juga tidak mempunyai perubahan antaranya ayam kekal pada harga RM6.17 sekilogram, ikan selar besar RM18.45 sekilogram dan sayur sawi RM2.20 sekilogram.

Menurut penyelia pasaraya itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sandra, pelaksanaan SST masih pada hari pertama dan kesan harga itu masih tidak lagi dirasai kerana stok yang ada pada pasar raya itu dibeli ketika harga sifar GST.

Situasi sama di SELANGOR apabila rata-rata harga barangan termasuk makanan dan minuman masih kekal dengan mengguna harga lama.

Tinjauan di sebuah pasar raya borong di Shah Alam, mendapati sebotol minuman bikarbonat 1.5 liter berharga RM2.90 yang mana harga tersebut masih sama seperti semalam (sebelum SST).

Di KOTA BHARU, rata-rata pengguna yang ditemui di beberapa pasaraya dan kedai runcit di negeri itu menyatakan harga barangan yang dibeli hari ini tidak menunjukkan perbezaan ketara walaupun SST telah dilaksanakan.

“Kami belum menerima apa-apa arahan daripada pihak pengurusan untuk meletakkan tanda harga baharu susulan pelaksanaan SST oleh itu setakat ini kami masih menggunakan tanda harga seperti semalam,” kata seorang jurujual sebuah pasaraya di bandar itu yang mahu dikenali sebagai Nur Atikah.

 Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");