Perak Hari Ini

Sukan Mampu Membentuk Nilai Integrasi Nasional – TPM

IPOH: Sukan merupakan salah satu medium yang boleh digunakan untuk memupuk nilai integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata nilai integrasi tersebut merupakan asas terpenting bagi masa depan negara.

Ujarnya, sukan juga merupakan medium yang berkesan dalam membentuk disiplin, keyakinan, kecergasan tubuh badan dan jati diri seseorang.

Tambahnya lagi, apabila perkara itu berlaku, ia seterusnya dapat melahirkan anggota masyarakat yang sihat fizikal dan mental yang dapat memberikan sumbangan berkesan kepada pembangunan negara.

“Dalam era Malaysia Baru ini dan dalam proses kita melangkah ke hadapan dalam pembinaan negara, cabaran yang dihadapi bukan sedikit dan muncul dalam pelbagai bentuk.

“Antara cabaran yang dihadapi adalah untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berkongsi idealisme, nilai hidup positif, semangat dan wawasan yang merupakan prasyarat bagi pembentukan sebuah negara yang bermaruah, maju dan progresif, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; serta Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut memuji kemampuan negeri Perak menyediakan fasiliti sukan di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang boleh dianggap mencapai taraf antarabangsa.

Beliau turut menyeru agar segala prasarana sukan tersebut dapat digunakan sepenuhnya bagi mencungkil dan membentuk atlet-atlet baharu di masa hadapan.

“Kemudahan-kemudahan sukan yang telah dibangunkan ini hendaklah dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan prestasi atlet-atlet kita ke satu tahap yang boleh menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");