Perak Hari Ini

Sukma Perak 2018 Berjaya Lahir Bakat Muda – MB

IPOH: Kejayaan atlet-atlet muda yang bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 membuktikan negara tidak ketandusan para pelapis yang boleh dibentuk menjadi bintang di peringan antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata beliau menaruh keyakinan bahawa atlet-atlet yang lahir menerusi temasya sukan dwitahunan itu ada antara mereka bakal membawa pulang pingat emas dalam penganjuran sukan antarabangsa Sukan Olimpik.

Beliau mengambil contoh kejayaan para atlet muda, antaranya perenang Johor, Tia’a Faang Der dan atlet angkat berat Wilayah Persekutuan, Jabriella Teo Samuel yang berjaya memecahkan dua rekod kebangsaan dalam acara masing-masing.

“Seperkara yang menarik perhatian kita adalah kejayaan atlet muda berusia 16 tahun dari Johor, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin yang telah berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara menembak.

“Pelajar Tingkatan Empat ini adalah contoh betapa pentingnya bakat-bakat sukan negara dicungkil dan dipupuk sedari peringkat awal untuk menggalas cabaran atlet-atlet senior kebangsaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Sukma Perak 2018, di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan Perak komited untuk membangunkan sukan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya kerajaan negeri kini sedang mengorak langkah dalam merealisasikan cadangan membangunkan Bandaraya Ipoh sebagai bandar sukan.

“Ia bukan sahaja untuk penganjuran acara-acara sukan arus perdana, kita juga merancang untuk menjadikan Bandar Sukan Ipoh ini sebagai hub sukan ekstrem dan e-sukan negara.

“Kita mahu menjadikan ia sebagai pusat kecemerlangan sukan dan juga pusat riadah untuk seisi keluarga dan semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");