Perak Hari Ini

Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara Berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Dataran Bandaraya Ipoh, hari ini, dekat sini.

Baginda berdua berangkat tiba di majlis berkenaan pada jam 9.10 malam, diiringi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal serta barisan Exco kerajaan negeri.

Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) menerusi tarian selamat datang dan tarian joget.

Ia kemudiannya disusuli dengan persembahan Tarian Sewang Bubu oleh wakil masyarakat Orang Asli dari Pos Raya, Simpang Pulai.

Selain persembahan tarian masyarakat Cina dan India, persembahan lakon puisi bertajuk ‘Serikandi Gelang Emas Merdeka’ oleh Kayangan Production turut mencuri tumpuan ramai.

Ia merupakan sebuah persembahan yang didedikasikan bagi mengenang jasa Datuk Siti Rahmah Kassim yang mendermakan gelang emasnya bagi menampung perbelanjaan rombongan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London bagi menuntut kemerdekaan negara.

Acara kemudiannya diteruskan dengan sembah ucapan Menteri Besar Perak.

Berucap pada majlis berkenaan, Ahmad Faizal berkata sikap menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah terawal yang harus dipraktikkan semua rakyat dalam ke arah menyemai sikap rasa cinta akan negara.

“Kita tidak perlu menunggu untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, umpanya memacak Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest.

“Apa yang penting kita bermula dengan sekecil-kecil perkara seperti membersihkan persekitaran kita, jangan buang sampah merata-rata, bantu buangkan sampah di tepi jalan, bersihkan longkang di kediaman kita dan juga kejiranan kita.

“Inilah perkara yang ramai anggap remeh, tetapi sebenarnya boleh membawa perubahan yang begitu besar.

“Inilah yang boleh menjadikan anda sebagai hero sebenar. Ini lah tanda kita mencintai negara kita,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih daripada 5,000 orang itu.

Pada masa sama, beliau turut menyeru agar semua pihak dapat menghentikan segala polemik politik dan bersatu membina negara untuk masa hadapan.

Sultan Perak dan Raja Permaisuri kemudiannya berangkat ke pentas utama, sambil diringi tetamu kehormat bagi merasmikan gimik persembahan penutup.

Persembahan kompang formasi oleh 90 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) St Michael, SK Jalan Panglima Bukit Gantang dan SK Wira Jaya kemudiannya mencuri tumpuan yang hadir.

Majlis diakhiri dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Jalur Gemilang dan bacaan doa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");