Berita Hari Ini

Tadbir Malaysia Ada Cabaran Tersendiri – PM

NEW YORK: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sukar mentadbir kerajaan dengan pegawai baharu tidak berpengalaman.

Barisan pegawai terbabit, kata Perdana Menteri, menggantikan pegawai kanan sebelum ini yang menyalah guna kedudukan ketika pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan terdahulu banyak mengganggu jentera pentadbiran,” katanya kepada hadirin pada sesi dialog di Institut Dasar Masyarakat Asia di sini, semalam, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Seperti negara demokratik lain, Dr Mahathir berkata, pengasingan kuasa diamalkan oleh legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Eksekutif mesti menerima arahan daripada kerajaan yang dipilih, namun ia terhad kepada melaksanakan projek, program dan sebagainya.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun lalu, pertubuhan pentadbiran menganggap mereka adalah sebahagian daripada parti politik kerajaan terdahulu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, golongan berkenaan kebanyakannya adalah pegawai kanan kerajaan yang secara terbuka menyokong dan berkempen untuk kerajaan terdahulu.

“Kami tidak boleh menerima keadaan ini dan ia mesti diubah. Justeru, kami menghabiskan banyak masa menukar atau memindahkan mereka yang secara terbuka menyokong kerajaan sebelum ini.

“Kami perlu menggantikan mereka dengan orang baharu. Dalam kerajaan pun, kami terpaksa memilih mereka yang lebih muda.

“Malangnya, golongan muda ini kurang memahami selok-belok pentadbiran, maka kami berdepan cabaran tersendiri dalam mentadbir negara,” katanya.

Perkembangan yang lebih positif, kata Dr Mahathir, ialah kejayaan menempatkan golongan profesional di institusi atau syarikat dimiliki kerajaan.

Katanya, sebelum ini ia diurus oleh golongan daripada Barisan Nasional (BN).

“Kami memutuskan untuk menyerahkan kepada golongan profesional menguruskan institusi dan syarikat ini.

“Langkah itu berjalan dengan baik. Kami mengenal pasti mereka dalam bidang perniagaan yang tidak berpihak kepada mana-mana parti atau pertubuhan yang tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan terdahulu,” katanya.

Dr Mahathir turut berkongsi kisah peralihan kuasa yang berlaku dengan lancar.

“Keputusan jumlah undi pembangkang (ketika itu) lewat dilakukan, namun pada akhirnya mereka (kerajaan ketika itu) perlu menerima hakikat pembangkang (ketika itu) memenangi pilihan raya.

“Mereka mengaku kalah secara baik tanpa sebarang cubaan untuk mengganggu kami.

“Ada juga beberapa perkembangan berlaku di belakang tabir. Mereka cuba membentuk pakatan dengan beberapa parti lain termasuk sebuah parti Islam, dengan harapan mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan Islam.

“Bagaimanapun, mereka gagal melakukannya kerana rakyat Malaysia adalah pragmatik dan tidak suka perubahan radikal berlaku di negara mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");