Sukan Hari Ini

TMJ Malu Lihat Fasiliti Pasukan Liga M

KUALA LUMPUR: Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui malu melihat kemudahan fasiliti yang dimiliki pasukan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Beliau menjelaskan kebanyakan stadium langsung tidak mempunyai alat penyiram air untuk padang dan hanya bergantung pada hos untuk menyiram rumput.

Katanya, sesetengah pasukan juga langsung tidak mempunyai padang latihan sendiri dan terpaksa bergantung kepada padang awam.

“Sebagai pengerusi MFL, saya malu mengenai kemudahan fasiliti itu, terutamanya apabila saya melihat negara jiran kami seperti Indonesia dan Thailand.

“Kelab bola sepak di negara itu mempunyai sekurang-kurangnya sebuah padang yang berada dalam keadaan terbaik.

“Ramai yang mahu perubahan dalam senario bola sepak tetapi itu hanya sekadar percakapan dan tiada sebarang tindakan.

“Mentaliti sebegini tidak setaraf dengan kejayaan yang diinginkan. MFL cuba melakukan perubahan tetapi tiada siapa yang mahu melaksanakan atau bertindak,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor Berita Harian.

Menerusi kenyataan sama, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan MFL sedang berusaha untuk memperkenalkan peraturan lebih ketat untuk padang bola sepak termasuk jenis rumput yang digunakan.

Beliau berkata, sebagai permulaan untuk mendapatkan kemudahan fasiliti yang lebih baik di negara ini seperti dilaksanakan di Thailand dan Indonesia.

“Padang bola sepak adalah perkara penting untuk memastikan permainan dapat dimainkan pada standard yang tinggi dan ia harus menjadi keutamaan bagi semua kelab.

“Namun, pasukan kelihatan tidak bersedia untuk perubahan ini, memberikan alasan seperti stadium dimiliki oleh kerajaan negeri dan untuk melaksanakan perubahan, kerajaan negeri dikehendaki melalui proses tender yang mengambil masa terlalu lama.

“Inilah masalah apabila stadium dimiliki oleh kerajaan negeri. Kami satu-satunya liga di dunia di mana MFL perlu mengeluarkan dana untuk penjagaan padang.

“MFL boleh memperuntukkan dana tetapi pasukan tidak dapat bertindak dengan segera kerana ia masih perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");